Pada 19 April lalu, Negeri Sembilan dan seluruh negara dikejutkan dengan satu pengumuman luar biasa apabila Undang Yang Empat mengisytiharkan tindakan menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-11, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir, daripada takhta.
Dalam pengumuman sama, Undang Yang Empat turut menamakan Tunku Dato’ Seri Nadzaruddin ibni Almarhum Tunku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12.
Bagi sebahagian besar rakyat yang tidak memahami keunikan institusi adat dan pemerintahan beraja Negeri Sembilan, tindakan itu mungkin kelihatan pelik, mengejutkan, malah dianggap biadab terhadap institusi istana.
Namun Negeri Sembilan bukan negeri beraja seperti negeri-negeri Melayu lain. Di negeri ini, kedudukan raja yang bergelar Yang di-Pertuan Besar tidak diwarisi secara automatik daripada ayahanda kepada anakanda, dan tidak pula ditentukan oleh Yang di-Pertuan Besar yang sedang bertakhta.
Sebaliknya, dari sudut sejarah, adat dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, Yang di-Pertuan Besar dipilih oleh Undang Yang Empat. Undang Yang Empat memilih Yang di-Pertuan Besar daripada kalangan waris yang layak, khususnya dalam lingkungan Putera.
Sistem ini menjadikan takhta Seri Menanti unik. Ia bukan semata-mata sistem pewarisan darah, tetapi sistem pemilihan adat yang berpaksikan persetujuan Undang Yang Empat.
Hakikat ini dapat dilihat dengan jelas ketika pemilihan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 pada Disember 2008, selepas kemangkatan Tuanku Ja’afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman.
Ketika itu, empat nama menjadi pertimbangan, iaitu Tunku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir, Tunku Naquiyuddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar, Tunku Imran ibni Almarhum Tuanku Ja’afar dan Tunku Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar.
Undang Yang Empat akhirnya memilih Tunku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-11, walaupun baginda bukan putera kepada Yang di-Pertuan Besar yang baru mangkat ketika itu.
Pemilihan tersebut memperlihatkan prinsip penting dalam sistem adat Negeri Sembilan iaitu takhta Seri Menanti tidak semestinya turun terus kepada putera pemerintah terdahulu, sebaliknya bergantung kepada keputusan Undang Yang Empat.
Pada 1967 ketika Almarhum Tuanku Munawir mangkat, Tuanku Muhriz tidak dipilih. Sebaliknya, Undang Yang Empat memilih Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-10.
Justeru, apabila Undang Yang Empat bertindak pada 19 April lalu, tindakan itu tidak boleh dibaca secara mudah sebagai sekadar “penderhakaan” atau tindakan biadab terhadap istana.
Ia perlu dilihat dalam kerangka lebih besar sistem adat Negeri Sembilan, di mana Undang Yang Empat bukan sekadar simbol adat, tetapi institusi penentu yang menjadi asas kepada keabsahan Yang di-Pertuan Besar itu sendiri.
Ironinya, institusi Undang yang pada 2008 membuka jalan kepada pemasyhuran Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-11, kini menjadi institusi sama yang bangkit mempertikaikan kedudukan baginda.
Undang Yang Empat, sumber keabsahan takhta Seri Menanti
Dalam sistem Negeri Sembilan, Undang Yang Empat bukan sekadar pembesar adat atau pelengkap istiadat.
Kedudukan mereka diiktiraf dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UTNS) 1959, khususnya dalam perkara berkaitan pemilihan, kedudukan dan keabsahan Yang di-Pertuan Besar.
Fasal 10 UTNS 1959 menjadi peruntukan penting dalam memahami kedudukan ini. Fasal tersebut memperuntukkan kuasa Undang Yang Empat berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar, termasuk dalam keadaan tertentu apabila Undang Yang Empat berpendapat baginda tidak lagi layak memegang jawatan tersebut.
Ini menjadikan kedudukan Undang Yang Empat sangat berbeza daripada pembesar adat biasa. Mereka bukan sahaja ketua kepada luak masing-masing, tetapi juga institusi yang mempunyai peranan perlembagaan dalam menentukan kedudukan Yang di-Pertuan Besar.
Selain Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin turut mempunyai kedudukan penting dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan. Tunku Besar Tampin ialah antara pembesar utama yang sering disebut bersama Undang Yang Empat.
Dalam hierarki adat negeri, beliau sering dianggap sebagai pembesar kelima, walaupun kedudukannya berbeza daripada Undang Yang Empat yang mempunyai kuasa memilih Yang di-Pertuan Besar.
Tunku Besar Tampin juga merupakan ahli Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan. Kedudukan beliau lebih signifikan kerana Tunku Besar Tampin turut terlibat dalam proses perkenan terhadap undang-undang negeri.
Dalam amalan pewartaan enakmen Negeri Sembilan, frasa perkenan lazimnya menyebut persetujuan Yang di-Pertuan Besar bersama Undang Yang Empat serta Tunku atau Tengku Besar Tampin. Ini menunjukkan Tunku Besar Tampin bukan sekadar pembesar istiadat, tetapi sebahagian daripada struktur perkenan dalam undang-undang negeri.
Dewan Keadilan dan Undang pula merupakan institusi penting yang menghimpunkan Yang di-Pertuan Besar, Undang Yang Empat dan pembesar-pembesar utama adat negeri.
Selain Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin, Dewan Keadilan dan Undang turut dianggotai oleh Dato’ Shahbandar Sungai Ujong.
Dato’ Shahbandar bukan Undang Yang Empat, tetapi beliau ialah pembesar adat penting dalam Luak Sungei Ujong dan mempunyai kedudukan tersendiri dalam Dewan Keadilan dan Undang.
Dewan itu juga dianggotai oleh Tunku Besar Seri Menanti. Pada masa ini, jawatan Tunku Besar Seri Menanti disandang oleh Tunku Ali Redhauddin ibni Tuanku Muhriz, anakanda kepada Tuanku Muhriz.
Maka, struktur Dewan Keadilan dan Undang memperlihatkan bahawa sistem Negeri Sembilan tidak hanya berpusat kepada Yang di-Pertuan Besar semata-mata.
Ia turut melibatkan Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin, Tunku Besar Seri Menanti, Dato’ Shahbandar dan pembesar-pembesar adat lain yang mempunyai kedudukan tersendiri dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan.
Dengan kata lain, sistem Negeri Sembilan tidak meletakkan semua kuasa adat dan perlembagaan pada satu institusi sahaja.
Ia dibina atas keseimbangan antara Istana Seri Menanti, Undang Yang Empat dan pembesar-pembesar adat utama yang diiktiraf dalam struktur negeri.
Sebab itu, apabila Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin mengambil pendirian dalam sesuatu krisis negeri, ia tidak boleh dianggap sekadar bantahan adat biasa.
Ia melibatkan pemegang taruh yang mempunyai kedudukan tersendiri dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan dan sistem keabsahan takhta Seri Menanti.
Apabila kuasa Undang dipertikai
Dari sudut teks Fasal 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, kuasa Undang Yang Empat untuk bertindak terhadap kedudukan Yang di-Pertuan Besar memang wujud dan tidak boleh diketepikan begitu sahaja.
Fasal tersebut memperuntukkan keadaan tertentu yang membolehkan Undang Yang Empat mengambil tindakan terhadap Yang di-Pertuan Besar termasuklah jika merasakan Yang di-Pertuan Besar tidak lagi layak memegang jawatan tersebut.
Peruntukan seperti ini memberi ruang yang besar kepada penilaian Undang Yang Empat. Ia juga menunjukkan bahawa dalam sistem Negeri Sembilan, kedudukan Yang di-Pertuan Besar tidak berdiri secara mutlak tanpa semak imbang adat.
Baginda dipilih oleh Undang Yang Empat, dan dalam keadaan tertentu, kedudukan itu juga boleh dipersoalkan oleh institusi yang sama.
Atas sebab itu, tindakan Undang Yang Empat pada 19 April lalu tidak boleh ditolak semata-mata sebagai tindakan tidak berasas. Jika Tuanku Muhriz mahu mencabar tindakan itu melalui mahkamah, itu adalah hak baginda.
Namun, persoalannya berbeza bagi Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Menteri Besar ialah ketua eksekutif kerajaan negeri. Beliau bukan pihak yang diberi kuasa budi bicara untuk menentukan sama ada keputusan Undang Yang Empat di bawah Fasal 10 patut diterima atau ditolak.
Dalam sistem berperlembagaan, tugas eksekutif negeri sepatutnya ialah melaksanakan proses pentadbiran yang berpunca daripada keputusan institusi yang berbidang kuasa.
Tindakan menolak pengisytiharan Undang Yang Empat dengan menjadikan kedudukan Datuk Klana Petra Dato’ Mubarak Dohak sebagai asas utama penolakan adalah satu kesilapan pemahaman terhadap UTNS.
Dalam kenyataan media pada 20 April 2026, Aminuddin menyatakan bahawa tindakan menandatangani dan membacakan pengisytiharan menurunkan Tuanku Muhriz adalah tidak sah serta tidak diiktiraf kerajaan negeri.
Alasan yang diberikan ialah Datuk Klana Petra Dato’ Mubarak Dohak, menurut beliau, sudah tidak lagi mempunyai kuasa dan fungsi sebagai Undang Luak Sungei Ujong.
Beliau juga menyatakan tindakan itu tidak selaras dengan Perkara 10 hingga 12 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Kenyataan itu pada asasnya cuba menggambarkan pengisytiharan 19 April sebagai tindakan seorang individu yang kedudukannya dipertikai, iaitu Undang Luak Sungei Ujong.
Namun, pengisytiharan tersebut bukan dibuat oleh Datuk Klana Petra Dato’ Mubarak Dohak secara bersendirian. Ia dibuat bersama Undang Yang Empat secara bulat muafakat.
Malah, pendirian itu turut disokong oleh Tunku Besar Tampin, seorang pembesar utama yang selama ini dilihat mempunyai hubungan rapat dengan keluarga Tuanku Muhriz. Beliau ialah ahli Dewan Keadilan dan Undang serta antara pemegang taruh utama dalam struktur adat dan perlembagaan Negeri Sembilan.
Keputusan itu juga dilihat mendapat sokongan Dato’ Shahbandar Sungai Ujong, seorang lagi pembesar adat yang merupakan ahli Dewan Keadilan dan Undang.
Ini menunjukkan bahawa sebahagian besar, malah hampir keseluruhan, teras pembesar adat utama Negeri Sembilan tidak lagi bersama Yang di-Pertuan Besar ke-11.
Dengan sokongan Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin dan Dato’ Shahbandar, krisis ini tidak wajar dipersempitkan sebagai tindakan balas dendam Undang Luak Sungei Ujong semata-mata.
Jika hendak dipertikaikan, pertikaian itu perlu dijawab pada asas Fasal 10 dan kedudukan Undang Yang Empat dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan.
Ia tidak memadai dengan menyerang keabsahan seorang Undang sahaja. Apatah lagi, tindakan menyerang Undang Luak Sungei Ujong secara terbuka oleh pihak eksekutif negeri boleh dilihat sebagai tidak wajar dalam budaya adat Negeri Sembilan.
Meremeh Undang Rembau
Ramai pihak melihat tindakan Undang Yang Empat pada 19 April lalu sebagai reaksi balas Undang Luak Sungei Ujong terhadap keputusan Dewan Keadilan dan Undang yang dikatakan menamatkan kedudukannya.
Ini tidak benar.
Krisis kepercayaan institusi Undang terhadap Istana Seri Menanti dipercayai telah bermula lebih awal.
Walaupun terdapat beberapa maklumat lain yang berlegar dalam kalangan pihak adat, penulis tidak berhasrat mengungkapkan perkara yang belum berada dalam pengetahuan umum.
Antara punca krisis yang lebih nyata ialah sikap Istana terhadap pelantikan Undang Luak Rembau.
Datuk Sedia Raja Abd Rahim Yassin telah dimasyhurkan sebagai Undang Luak Rembau ke-22 sejak 2024 dan melalui Istiadat Kerjan sebagai penyandang pusaka tersebut.
Namun, Istiadat Menyalang yang memerlukan perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dikatakan tidak disempurnakan walaupun telah ditangguhkan beberapa kali.
Dalam kalangan Undang Yang Empat, kegagalan menyempurnakan Istiadat Menyalang Undang Luak Rembau dilihat sebagai petunjuk bahawa Istana tidak berkenan dengan kedudukan Abd Rahim Yassin sebagai Undang Luak Rembau.
Ia juga dilihat sebagai proses melengahkan kemasukan Undang Luak Rembau ke dalam majlis rasmi negeri dan Dewan Keadilan dan Undang.
Keadaan itu sekali gus menimbulkan persoalan mengenai pengiktirafan Istana terhadap seorang Undang yang telah dimasyhurkan menurut adat luaknya.
Kepercayaan dalam kalangan pembesar adat negeri, Istana sedang cuba melemahkan kuasa dan pengaruh Undang.
Memaku keranda
Ketika isu Undang Luak Rembau belum selesai, Istana Seri Menanti sekali lagi menjadi tumpuan apabila timbul tindakan menyingkirkan Datuk Klana Petra Dato’ Mubarak Dohak sebagai Undang Luak Sungei Ujong.
Tindakan itu dipertikaikan oleh Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin dan Dato’ Shahbandar Sungai Ujong.
Antara isu utama ialah latar pihak yang dikaitkan dengan aduan terhadap Undang Luak Sungei Ujong.
Menurut laporan SuaraTV pada 21 April 2026, Balai YTM Undang Luak Sungai Ujong mendakwa individu yang disebut sebagai Ibu Soko, Sarifah Norzaidah Al Qadri, mempunyai kaitan langsung dengan Wan Khairil Adli Mohd Yusoff.
Wan Khairil Adli ialah salah seorang daripada dua bekas penyandang pesaka yang didakwa telah dilucutkan lebih awal.
Seorang lagi ialah Zainol Ariffin Ibrahim.
Menurut laporan sama, kedua-dua mereka sebelum itu merupakan Dato-Dato Lembaga Adat Sungai Ujong yang sah dan menerima elaun waris.
Namun mereka kemudian didakwa menubuhkan “Majlis Dato-Dato Lembaga Adat Sungai Ujong” tanpa pengetahuan, restu dan perkenan YTM Dato’ Klana Petra.
Balai YTM Undang Luak Sungai Ujong turut mendakwa nama majlis tersebut digunakan untuk memohon dana kerajaan bagi tujuan peribadi tanpa audit, termasuk menggunakan nama Undang Luak Sungai Ujong.
Dakwaan itu dikatakan terbongkar selepas pihak Balai dihubungi berhubung laporan kewangan melibatkan sumbangan yang didakwa disalurkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, dan Lembaga Muzium Negeri Sembilan.
Latar ini penting kerana ia menimbulkan persoalan mengenai kredibiliti pihak yang tampil mencabar kedudukan Undang Luak Sungei Ujong.
Selain isu pengadu, proses terhadap Datuk Klana Petra Dato’ Mubarak Dohak juga dipertikaikan.
Beliau dikatakan tidak dipanggil untuk menjawab pertuduhan sebelum kedudukannya diumumkan ditamatkan.
Sidang Dewan Keadilan dan Undang yang dikaitkan dengan keputusan itu juga menimbulkan persoalan dari segi kehadiran dan persetujuan ahli-ahlinya.
Menurut maklumat yang rapat dengan pembesar negeri ini, dan penulis terbuka kepada penafian, kedudukan ahli dalam sidang tersebut adalah seperti berikut:
Undang Luak Johol hadir dan membantah; Undang Luak Jelebu tidak hadir kerana notis singkat; Undang Luak Sungei Ujong tidak dijemput, Undang Luak Rembau tidak dijemput. Tunku Besar Tampin hadir dan membantah. Dato’ Shahbandar Sungai Ujong hadir dan membantah.
Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin ibni Tuanku Muhriz, menyokong usul.
Undang Luak Rembau dikatakan tidak dijemput kerana kedudukannya masih belum disempurnakan melalui Istiadat Menyalang, walaupun beliau telah dimasyhurkan sebagai Undang Luak Rembau ke-22 sejak 2024.
Undang Luak Jelebu pula dikatakan tidak hadir kerana hanya menerima jemputan sehari sebelum mesyuarat.
Jika maklumat ini tepat, hanya dua pihak yang menyokong usul tersebut, iaitu Yang di-Pertuan Besar dan Tunku Besar Seri Menanti.
Sebaliknya, Undang Luak Johol, Tunku Besar Tampin dan Dato’ Shahbandar Sungai Ujong yang hadir dikatakan membantah.
Dalam keadaan itu, keputusan menamatkan kedudukan Undang Luak Sungei Ujong sukar dilihat sebagai keputusan kolektif Dewan Keadilan dan Undang.
Namun, Menteri Besar tetap mengumumkan bahawa Datuk Klana Petra Dato’ Mubarak Dohak telah ditamatkan sebagai Undang Luak Sungei Ujong.
Ini menjadikan krisis semakin serius.
Dalam kes Undang Luak Rembau, pengiktirafan seorang Undang yang telah dimasyhurkan dikatakan dilengah-lengahkan melalui kegagalan menyempurnakan Istiadat Menyalang.
Dalam kes Undang Luak Sungei Ujong pula, kedudukan seorang Undang dikatakan cuba ditamatkan melalui proses yang dipertikaikan dari segi pengadu, hak menjawab pertuduhan, kehadiran ahli Dewan Keadilan dan Undang dan persetujuan sebenar dalam sidang tersebut.
Kesimpulan
Dua episod ini menjelaskan mengapa krisis penurunan Yang Di Pertuan Besar ke-11 ini bukanlah serangan Undang ke atas Istana, tetapi reaksi Undang mempertahankan institusi adat negeri sembilan.
Ia datang selepas beberapa tindakan yang dilihat mencabar kedudukan dan pengaruh institusi Undang dalam sistem adat Negeri Sembilan.
Justeru, ketika sebahagian pihak melihat pengisytiharan menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 sebagai tindakan melampau oleh Undang Yang Empat, pihak Undang pula melihatnya sebagai tindak balas terhadap beberapa perkembangan yang didakwa mencabar kedudukan dan keabsahan institusi mereka.
Bagi Undang Yang Empat, Tuanku dan Menteri Besar telah gagal menjaga kemurnian adat istiadat Negeri Sembilan dan mencabar kedudukan dan keabsahan institusi mereka.
Bagi mereka, jika Istana Seri Menanti tidak lagi dilihat menjaga keseimbangan adat dan menghormati kedudukan Undang Yang Empat, maka kedudukan Yang di-Pertuan Besar ke-11 wajar dipersoalkan menurut ruang yang tersedia dalam Fasal 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.



