UMNO Parti Besar Takkanlah Jadi Sekadar Penyanyi Latar – Puteri UMNO

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Martabat UMNO lebih tinggi berbanding sekadar berperan sebagai penyanyi latar dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN),” kata Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan.

Katanya, UMNO/BN mahu bukan sahaja terus menjadi penyumbang kepada negara, bahkan dinaikan ke martabat yang lebih tinggi.

“Syaratnya, kerajaan yang memerintah mestilah kerajaan yang diterajui oleh UMNO/BN.

“Kita tidak mahu sekadar berada di pentas yang sama tetapi hanya sebagai penyanyi latar.

“UMNO parti besar, mesti menjadi pemain utama dalam menentukan dasar dan masa depan negara,” katanya dalam ucapan dasar Puteri UMNO, hari ini.

Dalam pada itu ujar Zahida, hubungan UMNO dan Bersatu hanyalah sehingga Parlimen ini dibubarkan dan tiada sebarang kerjasama dengan Bersatu pada PRU ke-15 nanti dan keputusan parti mesti dihormati.

“Prinsip parti menguasai kerajaan mesti kita pertahankan.

“Ini matlamat kita ia adalah fundamental dalam hubungan parti kita dengan parti-parti lain, terutamanya dengan mereka yang sememangnya diasaskan untuk memusnahkan kita dulu.

“…yang merampas kerusi-kerusi kita. Yang kuasa diperolehi bukan melalui proses demokrasi yang betul tetapi dengan menerima mereka yang berpaling tadah. Mencuri pemimpin dan ahli-ahli kita dan terus berusaha mengambil penggerak akar umbi kita termasuk di kampung-kampung.

“Bagi kita, tindakan seperti itu bukanlah tindakan kawan tetapi itu adalah perangai lawan,” bidas Zahida.

Menurut beliau, Bersatu tumbuh dari benih yang tersisih dari pokok asal UMNO.

Katanya, Bersatu hidup hanya kerana mendapat baja dari DAP dan PKR. Sebab itu orang Bersatu tulen tidak heboh pun pasal No DAP, No PKR, kerusi asal yang mereka menang pun atas ehsan DAP dan PKR. Bagi kita No DAP No PKR is ‘Done Deal’. Tak boleh dipertikaikan.

“Setuju 100 peratus. Cuma kita hanya tambah satu lagi, No DAP, No PKR, dan NO Bersatu. Sebab kita tahu tujuan asal Bersatu memang untuk musnahkan kita.

” Cuma sekarang mereka sudah kehilangan baja dan sangat mengharapkan UMNO menjadi baja untuk mereka hidup dan subur kembali. Apakah kita perlu menjadi baja kepada pokok dedalu parasit, yang menumpang kita dan kita tahu pasti akan membunuh kita di masa depan? No PPBM, No DAP, No PKR.

” Bagi kita politik dedalu adalah “scheme of things”, yang mereka sebut-sebut. Ini adalah doktrin dan ideologi mereka yang kita kena faham. Doktrin untuk membolehkan golongan minoriti menguasi golongan majoriti dan akhirnya membunuh golongan majoriti itu. Dedalu tidak hanya hinggap satu pokok, dia akan pergi ke mana-mana pokok dan akhirnya akan membunuh pokok asal itu,” bidas beliau.

Zahida menambah, trend beli belah kerusi bermula dari waktu itu sehinggalah sekarang.

“Inilah Demokrasi buy the people, membeli wakil rakyat atas nama demokrasi. Kita tak dengar pun sebarang komen orang-orang Bersih di atas trend yang berlaku ini?

” Apakah pemimpin BERSIH pun sedang tunggu untuk dibeli? Nampaknya himpunan beratus ribu orang hanyalah untuk fool the people. Hanyalah untuk memperbodoh rakyat. Selepas itu, mereka cari seribu alasan untuk mengenepikan rakyat,” ujarnya.

Kata beliau, ada yang kata, lompat tidak salah. Ia tidak langgar undang-undang pun.

” Benar, sehingga sekarang belum ada undang-undang yang larang lompat parti. Tiada undang-undang bukan bererti itu benar.

“Tipu isteri pun tidak ada undang-undang, tapi tidak bermoral. Buang air besar depan orang ramai tak ada undang-undang, tapi tak betul. Berhutang tapi tak bayar hutang itu kerja kencing kawan yang susah diambil tindakan undang-undang tapi itu sangat tidak bermoral.

” Benar, undang-undang tak boleh hukum mereka. Yang boleh hukum mereka ialah rakyat. Rakyat mesti sepakat mencemuh tindakan tidak bermoral
mereka. Mengkhianati mandat rakyat adalah tidak bermoral. Membelakangkan kehendak rakyat adalah satu pengkhianatan yang mesti ditentang.

“Lompatlah sejauh mana. Peganglah jawatan setinggi mana, tetapi anda tetap tidak bermoral.

“Parti politik, bukan sekadar dilihat dari segi ideologi dan dasarnya semata-semata, tetapi juga himpunan pengikut dan pemimpinnya. Sekiranya di sana berhimpunnya ramai pengkhianat yang melompat ke sana ke sini, ia tak ubah seperti hanya kandang yang tak sesuai dihuni oleh mereka yang bermaruah,” kata Zahida lagi.

Tambah beliau, “sebab itu, sekiranya dalam parti kita, pemimpin di atas gagal menegur dan memperbaiki kejijikan ini, kita, anak muda akan bersuara lantang menegur mereka.

” Termasuk pemimpin kita sendiri. Kita tidak rela, orang yang pernah kita sanjung, kita angkat, dan, kita berkorban untuk mereka, bergantayangan, mengilai, mempersendakan parti kita apabila berada bersama di ‘Kandang Pengkhianat’.

“Kalau mereka menuding kita dengan macam-macam kluster, kita tuding pula mereka sebagai “Kluster Pengkhianat”.

“Kita juga tidak mahu ada pemimpin kita berterusan bekerjasama dengan Kluster Pengkhianat. Apatah lagi menjadi “Gembala Politik” mengusung orang kita ke sana ke mari memberi makan dan minum bertujuan menggemukkannya dan akhirnya untuk disembelih menjadi makanan kepada tuan besar mereka dari ‘Kluster Pengkhianat’ itu,” tegas beliau.

Perkembangan lain, beliau memberitahu Perhimpunan Agung UMNO (PAU) bukan Parlimen. Namun Perhimpunan Agung UMNO ini mesti berperanan sebagai Parlimen rakyat kerana Parlimen sudah digantung fungsinya.

“Sebab itu kita perlu bertanya, apa rasionalnya ahli-ahli parlimen diberi elaun yang besar tetapi Parlimen tidak boleh berfungsi?

“Kalau ahli-ahli Parlimen sudah diberi keutamaan untuk divaksinkan, kenapa tidak Parlimen diberi keutamaan untuk dibuka semula? Kita hanya diberitahu melalui data dan sains oleh Menteri PN. Kita tidak boleh bersidang kerana parlimen terdiri dari kalangan ramai orang tua.

“Kalau itulah alasannya maka sudah tiba masanya orang muda yang ada dalam dewan ini menggantikan mereka. ini bukan saya kata ini data dan sains Menteri PN yang kata.

” Malu kita sebagai orang politik, bekerja untuk memenangkan wakil kita ke Parlimen tetapi parlimen hanya tinggal menjadi gudang kosong.

” Malu kita apabila pasar malam dan bazar ramadhan dah boleh berniaga. Malu kita, apabila diberitahu casino dan tempat tikam ekor pun di buka. Rumah urut pun boleh mengurut. Tetapi kenapa Parlimen tidak boleh? Parlimen adalah tempat di mana proses “check and balance” – semak imbang yang sangat penting dalam perjalanan sesebuah kerajaan,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat