Kerajaan Kaji Kebenaran Rentas Negeri Sempena Aidilfitri – PM

- Advertisement -

MUAR: Kerajaan akan meneliti mengenai kebenaran pergerakan rentas negeri bersempena Aidilfitri yang akan disambut pada pertengahan Mei depan, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada masa sama, beliau turut membayangkan kemungkinan membenarkan solat sunat Aidilfitri serta aktiviti takbir raya dan kunjung-mengunjung ke rumah berdekatan selepas kerajaan sebelum ini memberikan kebenaran mengadakan solat sunat tarawih pada Ramadan kali ini.

“Lepas ini, besok (nanti) nak raya, mungkin boleh buat solat raya bersama-sama takbir dan sebagainya, atapun selepas itu boleh ziarah, kalau rumah sebelah bolehlah kot, tapi nak rentas negeri balik kampung, saya belum dapat nak bagi jawapan.

“Untuk itu, kita akan teliti… insya-Allah, nanti akan diumumkan pada masa yang sesuai,” katanya ketika berucap pada majlis Sarapan Pagi bersama masyarakat Felcra Bukit Kepong, di sini, hari ini.

Terdahulu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh mengingatkan masyarakat agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk memastikan kes COVID-19 di negara ini termasuk di Johor terus berkurangan.

Keadaan (COVID-19) di Johor sudah bertambah baik sedikit tapi belum sampai ke (tahap) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kalau PKPP kita hampir sudah boleh bergerak dan menjalankan tugas seperti biasa tetapi sini (Johor) belum sampai ke tahap itu,” kata Muhyiddin.

Justeru, beliau berkata tanggungjawab untuk memastikan keadaan bertambah baik terletak di bahu setiap pemimpin dan semua lapisan masyarakat terutama dalam memastikan pematuhan SOP COVID-19 dilaksanakan dengan sebaiknya.

Menurut Muhyiddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, pandemik COVID-19 meletakkan negara dalam keadaan paling sukar dalam sejarahnya kerana perlu mendepani masalah kesihatan dan ekonomi yang membawa implikasi besar kepada kehidupan rakyat.

Sehubungan itu kata beliau, kerajaan Perikatan Nasional memperuntukkan sejumlah wang yang besar antara RM325 billion dan RM330 bilion untuk membantu rakyat.

“Kita telah keluarkan peruntukan besar untuk tolong rakyat. Tujuannya tidak lain supaya rakyat kita berpeluang hidup, dapat pendapatan,” katanya.

Beliau berkata diharapkan dengan peruntukan itu, kerajaan boleh bersama-sama dengan rakyat menjana aktiviti dalam negara sekali gus memulihkan ekonomi negara.

Turut hadir ADUN Bukit Kepong Datuk Dr Sahruddin Jamal dan ADUN Tenang Mohd Solihan Badri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri.

— BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat