KUALA LUMPUR- Pembangkang mendakwa mereka disyaratkan menghantar surat kepada Timbalan Perdana Menteri II Datuk Seri Fadillah Yusof sebelum jawatankuasa meneliti cadangan berkaitan peruntukan kepada Ahli Parlimen (MP) pembangkang ditubuhkan.
Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendakwa, beliau berhubung dengan Fadillah melalui pesanan teks dan bertanya sama ada jawatankuasa perundingan berhubung peruntukan pembangkang akan ditubuhkan.
“Saya berkomunikasi dengan Timbalan Perdana Menteri dengan pengetahuan Ketua Pembangkang (Datuk Seri Hamzah Zainuddin).
“Malah beliau beritahu saya, sila masukkan surat permohonan atau surat mahu berbincang atau nak beri pandangan balas, barulah beliau akan tubuh jawatankuasa. Itu jelas.
“Saya teks pada beliau, betulkah macam ini (merujuk laporan penubuhan jawatankuasa)? Beliau kata pada saya, anda masuk surat dulu, saya tubuh jawatankuasa.
“Jadi, ini bersyaratlah. Nanti kita akan bincang (dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang),” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini. Yang turut hadir, Hamzah dan Ahli Parlimen PN, lapor BH pada Khamis.
Semalam, Fadillah berkata kerajaan sedia menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi meneliti pandangan serta cadangan semua pihak ke arah mencari penyelesaian terhadap kemelut berkaitan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.
Katanya, kedua-dua pihak iaitu kerajaan dan pembangkang perlu mencapai konsensus bersama berhubung perkara itu.
Menurutnya, jika ada cadangan dikemukakan kepada beliau, jawatankuasa itu akan dibentuk bagi membolehkan ia dibincangkan.
Ditanya mengenai langkah seterusnya oleh PN, Hamzah berkata, pihaknya akan menghantar surat kepada Fadillah bagi mendapatkan pengesahan sama ada PN perlu menghantar surat bagi penubuhan jawatankuasa itu.
“Kita akan tulis surat bahawa jika benar, kami bersetujulah untuk ditubuh satu jawatankuasa ini,” katanya.