Kuala Lumpur bakal menyaksikan sebuah bazar Ramadan eksklusif yang menggabungkan unsur warisan dan gaya hidup moden menerusi Karnival Warisan @Saloma. Diadakan sepanjang bulan Ramadan di Lanai @ MATIC, bersebelahan dengan Restoran Saloma, karnival ini bukan sekadar tempat membeli-belah tetapi satu pengalaman unik yang mengangkat keindahan budaya dan keusahawanan dalam suasana yang selesa dan strategik.
Pemilihan nama “karnival Warisan @Saloma” sebagai sebahagian daripada jenama karnival ini bukan sekadar simbolik, tetapi satu penghormatan terhadap seni, budaya, dan nilai tradisi yang terus berkembang dalam arus moden. Dengan lokasi berprestij di Restoran Saloma, nama ini turut mencerminkan legasi seni Allahyarhamah Saloma, seorang ikon dalam dunia hiburan dan fesyen tanah air yang masih dikenang sehingga hari ini. Justeru, Karnival Warisan @Saloma membawa nostalgia yang dipadukan dengan elemen keusahawanan kontemporari, menjadikannya destinasi unik yang mengangkat budaya tempatan ke tahap yang lebih tinggi.
Majlis perasmian karnival ini akan disempurnakan oleh YB Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, pada 16 Mac 2025 (Ahad) jam 6.00 petang. Karnival ini akan berlangsung sepanjang bulan Ramadhan bermula pada 3 mac ini.
Menurut Presiden Saloma Kuala Lumpur, Datin Riza Dato’ Hj Che Umar, karnival ini menawarkan peluang luar biasa kepada para usahawan dan peniaga kecil untuk berkembang dalam pasaran yang lebih luas.
“Sebagai salah satu bazar utama di Kuala Lumpur, Karnival Warisan @ Saloma menawarkan kelebihan lokasi di kawasan pelancongan utama dengan aliran trafik tinggi, sekali gus memberikan visibiliti jenama yang lebih luas,” katanya.
Menariknya, karnival ini turut mendapat sokongan daripada ramai selebriti terkenal tanah air yang bukan sahaja hadir sebagai penyeri acara, tetapi juga mengambil peluang untuk menceburi bidang perniagaan. Antara selebriti yang akan turut serta termasuk Aidil & Fasha Sandha, Betty Banafee, Ashraf Muslim, Sharifah Shahirah, Fizz Fairuz, Syikin Maembong, Cat Farish, Jue Aziz, Cheb Ali, Azura Aziz, Nad Zainal, Aprena Manrose dan ramai lagi.
Menurut Datin Riza, penyertaan golongan artis ini bukan sahaja membantu memeriahkan suasana karnival, tetapi juga memberi peluang kepada mereka untuk menjana pendapatan tambahan dalam suasana perniagaan yang lebih eksklusif.
“Kami melihat ramai artis yang berbakat bukan sahaja dalam bidang seni, tetapi juga dalam perniagaan. Oleh itu, kami membuka ruang kepada mereka untuk turut serta dan memanfaatkan peluang di lokasi premium ini,” katanya.
Dengan lebih daripada 150 booth jualan, karnival ini menawarkan pelbagai produk termasuk fesyen, aksesori, makanan tradisional, kelengkapan rumah, dan barangan keperluan Ramadan serta Aidilfitri. Dengan harga tapak yang serendah RM5,000 sebulan, karnival ini membuka ruang kepada sesiapa sahaja untuk berniaga, termasuk mereka yang ingin menceburi bidang keusahawanan buat pertama kali.
Dari segi operasi, Karnival Warisan @Saloma menetapkan waktu perniagaan dari jam 6.00 petang hingga 10.00 malam setiap hari, manakala pada minggu terakhir Ramadan, bazar ini akan dibuka 24 jam sehari bagi memberi kemudahan kepada pembeli membuat persiapan Aidilfitri tanpa kesesakan. Selain aktiviti perniagaan, suasana Ramadan di karnival ini juga diperindahkan dengan elemen keagamaan dan kebudayaan, termasuk gendang selawat, persembahan kebudayaan, dan nasyid sebagai ganti hiburan konvensional.
Menurut Datin Riza, konsep karnival ini bukan sahaja memberi ruang kepada peniaga tetapi turut menyokong industri seni dan kebudayaan tempatan.
“Kami ingin memastikan bahawa karnival ini bukan sekadar bazar, tetapi juga satu platform untuk mengetengahkan warisan seni dan budaya dalam suasana yang lebih eksklusif dan moden,” jelasnya.
Sebagai daya tarikan tambahan, Karnival Warisan @Saloma turut menawarkan cabutan bertuah mingguan yang menyediakan hadiah utama berupa empat buah motosikal elektrik (EV). Cabutan bertuah ini diadakan sebagai tanda penghargaan kepada para pengunjung yang menyokong peniaga-peniaga tempatan, sekaligus menjadikan pengalaman membeli-belah di karnival ini lebih menarik dan bermakna.
Keistimewaan lain yang ditawarkan ialah pakej berbuka puasa dan sahur di Restoran Saloma, yang bukan sahaja menyediakan hidangan istimewa tetapi juga ruang untuk solat tarawih di surau berdekatan. Ini menjadikan karnival ini lokasi lengkap untuk pengunjung yang ingin menikmati pengalaman Ramadan dalam suasana yang lebih santai dan eksklusif.
“Karnival Warisan @Saloma adalah peluang terbaik untuk peniaga memperluaskan pasaran mereka di lokasi premium Kuala Lumpur. Dengan gabungan elemen warisan songket dan moden, bazar ini bakal menjadi destinasi utama bagi persiapan Syawal,” tambah Datin Riza.
Dengan gabungan lokasi strategik, suasana warisan yang eksklusif, peluang perniagaan yang luas, serta hadiah cabutan bertuah yang lumayan, Karnival Warisan @Saloma bakal menjadi mercu tanda baharu bagi bazar Ramadan di Malaysia. Sebagai sebuah acara yang meraikan budaya dan keusahawanan, karnival ini bukan sahaja memberi impak kepada industri perniagaan tempatan tetapi juga mengukuhkan kedudukan Kuala Lumpur sebagai pusat warisan dan gaya hidup moden yang unik.