Indonesia digegar skandal rasuah Pertamina RM53 bilion, 7 ditahan angkara import bekalan minyak luar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pejabat Peguam Negara (AGO) Indonesia telah menahan 7 suspek termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pertamina Patra Niaga Riva Siahaan terkait skandal rasuah bernilai 193.7 trilion rupiah (RM53 bilion) melibatkan perolehan minyak mentah dan produk petroleum.

Media melaporkan, 7 individu disyaki terlibat, termasuk empat eksekutif Pertamina, kerana menyebabkan kerugian besar kepada negara.

Pertamina Patra Niaga ialah cabang jualan syarikat minyak dan gas Pertamina yang dimiliki pemerintah.

Individu ditahan berkenaan didakwa mengatur skim yang memaksa kilang penapisan mengimport minyak mentah dan produk petroleum dari luar, walaupun undang-undang menghendaki Pertamina mendapatkan bekalan dari kontraktor domestik terlebih dahulu.

Siasatan mendapati suspek terlibat dalam aktiviti import yang dimanipulasi antara 2018 hingga 2023, dengan tiga individu daripada syarikat swasta turut didakwa memperoleh keuntungan haram daripada penghantaran minyak tersebut.

Dalam kenyataan berasingan, Pertamina menegaskan bahawa syarikat itu akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dan memastikan perkhidmatan pengedaran tenaga kepada rakyat berjalan seperti biasa.

Enam suspek lain termasuk eksekutif daripada dua anak syarikat Pertamina – Kilang Pertamina Internasional dan Pertamina International Shipping – serta tiga dari firma sektor swasta – Navigator Khatulistiwa, Jenggala Maritim dan Orbit Terminal Merak.

Mereka didakwa melanggar peraturan pemerintah yang memerlukan Pertamina mengutamakan minyak mentah sumber tempatan untuk pengeluaran bahan api domestik, kata jurucakap AGO, Harli Siregar.

“Peraturan itu memberi mandat kepada Pertamina untuk mendapatkan minyak mentah daripada pembekal domestik dan menapisnya secara tempatan untuk memenuhi permintaan bahan api negara,” jelas beliau.

Bagaimanapun, semasa pandemik Covid-19, Pertamina sebaliknya mengeksport minyak mentah dengan alasan pengurangan kapasiti pengeluaran di kilang penapisannya.

Pada masa yang sama, syarikat itu mengimport minyak mentah untuk memenuhi sasaran pengeluaran, menimbulkan syak wasangka berlakunya salah urus kewangan.

Pengarah siasatan rasuah AGO, Abdul Qohar berkata, perdagangan minyak mentah secara haram antara 2018 dengan 2023 mengakibatkan negara dianggarkan mengalami kerugian 193.7 trilion rupiah atau AS$11.9 bilion.

“Berdasarkan kenyataan saksi, pendapat pakar dan dokumen yang diperoleh secara sah, pasukan penyiasat telah mengenal pasti 7 suspek,” kata Abdul Qohar semasa sidang media di ibu pejabat AGO di Jakarta.

Ketujuh-tujuh suspek telah ditahan selepas menjalani pemeriksaan kesihatan.

Mereka semua akan ditahan selama 20 hari untuk proses penyiasatan mulai 24 Februari.

Jurucakap Pertamina Fadjar Djoko Santoso mengesahkan syarikat itu akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak pendakwa semasa siasatan dijalankan.

“Pertamina komited untuk bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan undang-undang bagi memastikan proses undang-undang yang sewajarnya di samping menegakkan keadilan,” kata Fadjar dalam satu kenyataan.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat