MUAR – Calon muka baru DUN N.15 Maharani, Noor Farah Shamsuddin akan kerja keras untuk pastikan kelompok Undi 18 ‘jatuh cinta’ dengan Barisan Nasional (BN).

Noor Farah anak jati Muar komited mendekati pengundi muda untuk menyokong BN di DUN Maharani dan mengembalikan kerusi kepada BN.

“Sebagai calon baru saya mempunyai tugas yang amat berat yang saya pikul iaitu mendekati pengundi muda.

“Saya akan kerja keras untuk menarik mereka jatuh cinta dengan BN.

“… saya Ara Shamsuddin anak jati DUN Maharani akan berusaha sehabis baik saya untuk kempen ini bagi mempromosikan BN dapat kembalikan DUN Maharani kepada BN,” katanya ketika ditemui dalam walk about di Parit Bakar, pada Ahad.

Noor Farah yang berusia 36 tahun memberitahu beliau akan cuba memenangkan BN demi kestabilan Johor.

Meskipun mengakui penyandang kerusi DUN Maharani dari Pakatan Harapan (PH), Nor Hayati Bachok popular di sini namun ia bukan ukuran.

“Bagi saya populariti bukanlah menjadi satu ukuran untuk bekerja kepada masyarakat.

“Saya selaku calon baru yang diletakkan oleh parti BN akan menggunakan tempoh masa berkempen ini untuk mendekati seluruh pelusuk penduduk di dalam DUN Maharani untuk menawarkan khidmat bakti saya.

“Saya sebagai anak jati Maharani akan menabur bakti membantu penduduk Maharani memajukan DUN ini.

“Kita alami zaman 22 bulan yang amat memeritkan dan saya rasa kali ini pengundi semua dah pandai berfikir,” ujar Noor Farah.