Oleh Zihan Zari
KUANTAN – Malaysia telah mencatatkan pengeluaran sebanyak 793.9 tan metrik udang galah dengan nilai borong RM42 juta, meningkat daripada 625.3 tan metrik (RM30.8 juta) pada 2022.
Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dalam kenyataannya berkata, statistik terkini pengeluaran udang galah yang menunjukkan perkembangan positif dalam sektor akuakultur di Malaysia.
Walaupun terdapat sedikit penurunan pada 2024 kepada 417 tan metrik dengan nilai RM22 juta, namun pengeluarannya terus memberikan sumbangan yang besar kepada sektor perikanan negara.
Menurutnya, negeri Pahang telah menunjukkan peningkatan memberangsangkan dalam tempoh tiga tahun dari 2021 hingga 2023
“Pengeluaran udang galah negeri itu mencatatkan 15.2 tan metrik dengan nilai borong RM1 juta pada 2021, manakala pengeluarannya meningkat kepada 19.8 tan metrik dengan nilai borong RM1.4 juta pada 2022,”kata kenyataan itu pada Sabtu.
“Peningkatan yang lebih ketara berlaku pada 2023, apabila pengeluarannya melonjak kepada 74.3 tan metrik dengan nilai borong RM5.6 juta.
“Pengeluaran udang galah terus memainkan peranan penting dalam meningkatkan pendapatan penternak dan nelayan darat, di samping menyokong kestabilan bekalan makanan tempatan,”katanya.
“DOF kekal komited untuk memastikan kelestarian dan kualiti pengeluaran melalui pelbagai inisiatif, termasuk pembangunan infrastruktur dan penyelidikan oleh Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) bagi menghasilkan benih udang galah berkualiti tinggi dan bebas penyakit.
“Bagi menangani cabaran seperti kekurangan bekalan benih berkualiti dan kos operasi yang tinggi, DOF telah melaksanakan Program Sistem Penyampaian dan Khidmat Sokongan (SPeKS) Akuakultur.
“Selain itu, program pembiakbakaan induk udang galah yang bermula sejak 2016 terus menunjukkan kejayaan dalam meningkatkan produktiviti dan kualiti pengeluaran,”katanya.
“DOF juga telah melaksanakan program pelepasan lebih 21 juta ekor benih udang galah ke perairan sungai bernilai RM2.35 juta dari 2021 hingga 2024.
“Sebanyak 1.7 juta ekor benih udang galah telah dilepaskan ke sungai-sungai utama di Pahang sepanjang tempoh tersebut, memberikan manfaat besar kepada komuniti nelayan darat tempatan dan menyokong pemuliharaan ekosistem.
“Dalam usaha melibatkan generasi muda, DOF menggalakkan penyertaan mereka melalui program Geran Agropreneur Muda (GAM) yang menawarkan sokongan kepada individu yang berminat menceburi bidang akuakultur, ”katanya lagi.
“Permohonan untuk GAM kini dibuka sepanjang tahun dan boleh dibuat secara atas talian melalui pautan https://app-egam.kpkm.gov.my/login
“Peningkatan nilai borong udang galah setiap tahun turut mencerminkan potensi besar produk ini sebagai komoditi eksport yang kompetitif di peringkat antarabangsa,”tambahnya.
“Pengeluaran mampan yang berterusan akan memastikan sektor akuakultur terus berkembang, sekaligus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara serta memastikan bekalan makanan laut kekal terjamin.
“DOF kekal komited untuk menyediakan pelbagai sokongan bagi memastikan industri penternakan udang galah di Malaysia terus berkembang maju dan memberikan impak positif kepada ekonomi negara dan rakyat, ”tambahnya lagi. -SUARA.TV