Prosiding komital terhadap Lokman Noor Adam didengar 18 Mac

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Prosiding komital yang dikemukakan Peguam Negara terhadap bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Lokman Noor Adam atas dakwaan mengugut seorang saksi dalam perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan didengar 18 Mac ini di Mahkamah Tinggi di sini.

Saksi itu ialah Datuk Amhari Efendi Nazaruddin yang merupakan bekas pegawai khas Najib.

Timbalan Pendakwa Raya T. Deepa Nair berkata prosiding komital itu akan didengar di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

“Mahkamah memerintahkan pihak pendakwaan dan responden memfailkan hujahan bertulis pada 18 Feb ini dan sekiranya terdapat hujahan tambahan, ia perlu difailkan pada 4 Mac,” katanya ketika dihubungi selepas prosiding pengurusan kes hari ini.

Pada 14 Jan lepas, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Lokman Noor untuk mengenepikan kebenaran yang diperoleh Peguam Negara bagi memulakan prosiding komital terhadapnya selepas memutuskan bahawa notis tunjuk sebab telah dikeluarkan kepada responden dan pendakwa raya mematuhi Perintah 52 Peraturan 2B Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

Pada 13 Mei tahun lepas, Mahkamah Rayuan turut menolak rayuan Lokman Noor selepas memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf dalam keputusannya membenarkan permohonan Peguam Negara.

Pada 14 Jan tahun lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Lokman Noor selepas berpendapat kenyataan oleh Peguam Negara adalah jelas dan mencukupi ketika ia dibawa kepada perhatian responden.

Pada 22 Okt 2019, Mahkamah Tinggi memberi kebenaran kepada Peguam Negara ketika itu Tan Sri Tommy Thomas untuk memulakan prosiding komital terhadap Lokman Noor bagi perbuatan menghina mahkamah yang dilakukan dua kali pada 25 Sept tahun sama.

Thomas, yang dilantik sebagai Peguam Negara untuk tempoh dua tahun pada 4 Jun 2018 oleh Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menggantikan Tan Sri Mohamed Apandi Ali, meletak jawatan pada 29 Feb tahun lepas.

Thomas memulakan prosiding komital terhadap Lokman Noor dengan memohon supaya responden dipenjara atau didenda atas perbuatannya.

Thomas berkata pada 25 Sept 2019, responden dalam temu bual video telah mengeluarkan perkataan berbaur ancaman atau membawa maksud untuk mengugut Amhari Efendi kerana memberi keterangan pada perbicaraan kes Najib di Mahkamah Tinggi.

Peguam Negara itu berkata tujuan tindakan responden adalah untuk mengganggu dan mengugut Amhari Efendi, saksi lain dan mana-mana saksi berpotensi yang mungkin tampil untuk memberi keterangan terhadap Najib pada perbicaraan kes 1MDB.

— BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat