KUALA LUMPUR,- SHARP Electronics Malaysia Sdn Bhd (SHARP), jenama global yang terkenal dengan teknologi canggih dari Jepun, menyambut ulang tahun ke-40 di Malaysia dengan kempen “Sharp 40 Live Mighty” dan program peningkatan perkhidmatan, Double Sincerity Service Upgrade. Langkah ini menunjukkan komitmen SHARP untuk terus memperkasa kehidupan rakyat Malaysia dengan inovasi teknologi dan perkhidmatan yang lebih berkualiti.
Sejak penubuhannya pada tahun 1985, SHARP telah berjaya mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju dalam dunia teknologi, memperkenalkan pelbagai produk yang memudahkan kehidupan seharian. Dengan sambutan ulang tahun ini, SHARP bukan sahaja meraikan kejayaannya di pasaran Malaysia, tetapi juga memulakan misi baharu untuk membantu rakyat Malaysia menyambut tahun 2025 dengan semangat inovasi dan keyakinan.
Dalam satu langkah berani, SHARP telah memperkenalkan program “7-Hari Jaminan Penyelesaian Servis” yang pertama seumpamanya di Malaysia. Program ini memberikan jaminan penyelesaian servis dalam tempoh tujuh hari di seluruh negara, memastikan setiap pelanggan mendapat perkhidmatan yang pantas dan boleh dipercayai. Bagi memastikan kepuasan pelanggan lebih terjamin, mereka yang membeli produk siri INVERTER atau siri 120Hz AQUOS XLED TRU sebelum 31 Disember 2025 akan menikmati jaminan tambahan satu tahun apabila mereka mendaftar secara dalam talian.
Menurut Encik Ting Yang Chung, Pengarah Urusan SHARP Malaysia, “Selama empat dekad ini, kami berusaha untuk memenuhi keperluan pelanggan tempatan dengan melancarkan produk-produk yang memudahkan kehidupan, termasuk Penyelesaian Peralatan Pintar, Penyelesaian TV, dan Penyelesaian Perniagaan Pintar. Kami ingin terus memberi nilai tambah kepada kehidupan mereka dengan perkhidmatan yang lebih baik dan cepat.”
Untuk menyemarakkan kempen “Live Mighty”, SHARP turut melantik pasangan beregu badminton wanita negara, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan, sebagai duta kempen. Pasangan ini dikenali dengan ketahanan dan kejayaan luar biasa mereka, menjadikan mereka contoh sempurna bagi semangat “Live Mighty” – berani menghadapi cabaran dan terus maju walaupun menghadapi pelbagai halangan.
“Melalui kerjasama ini, kami berharap dapat memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk terus bersemangat dan berani dalam menghadapi cabaran seharian, sambil mencipta kehidupan yang penuh dengan pencapaian luar biasa,” kata Encik Ting.
Selain daripada kempen utama ini, SHARP juga merancang pelbagai aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), acara promosi, dan inisiatif B2B yang akan dilancarkan sepanjang sambutan ulang tahun ini. SHARP bertekad untuk terus mengukuhkan hubungan dengan rakyat Malaysia dan memberi impak positif kepada masyarakat melalui kreativiti dan keikhlasan.
“Ulang tahun ke-40 ini adalah satu permulaan baru bagi kami,” tambah Encik Ting. “Dengan kempen ‘Live Mighty’, kami berharap dapat memberi inspirasi kepada semua orang untuk menghadapi tahun 2025 dengan lebih berani dan inovatif. Kami berhasrat untuk menjadi jenama elektronik terkemuka di Malaysia dengan mencipta produk dan perkhidmatan yang tidak hanya memenuhi, tetapi melebihi jangkaan pelanggan kami.”
Untuk maklumat lanjut mengenai kemas kini atau promosi terkini SHARP, kunjungi laman web rasmi mereka di https://my.sharp/ atau ikuti mereka di Facebook (@SharpMsia) dan Instagram (@sharp.malaysia).