Pegawai Bersekutu APM Digesa Lapor Diri, Bantu Mangsa Banjir

- Advertisement -

HULU LANGAT – Pegawai bersekutu Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) digesa melapor diri ke bilik gerakan APM dengan segera, untuk membantu masyarakat yang terkesan dengan bencana banjir.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Mastura Mohd Yazid berkata, APM mempunyai kira-kira 3,000 pegawai bersekutu, daripada pelbagai latar belakang seperti ahli korporat, juruteknik, jurutera, hartawan, artis dan pemimpin masyarakat, dengan kebolehan dan kelebihan masing-masing.

“Oleh itu, kita mempunyai satu tanggungjawab yang besar maka ayuh kita lakukannya sebagai satu pasukan besar untuk rakyat,” katanya kepada pemberita selepas selesai melakukan tinjauan di Taman Sri Nanding, di sini pada Ahad.

Dalam tinjauannya itu, Mastura berkesempatan untuk memantau operasi kumpulan pegawai bersekutu APM yang mengambil inisiatif untuk membuka Pusat Kesihatan dan Perubatan, yang menyediakan khidmat rawatan kepada penduduk yang memerlukan.

Inisiatif itu yang telah berlangsung sejak Khamis (23 Disember) melibatkan pembukaan sebuah klinik utama di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Rendah Agama Dusun Nanding, Hulu Langat dan klinik-klinik kecil di kawasan taman dan kawasan lain yang terjejas.

Ia turut melibatkan penyediaan pasukan bergerak yang akan pergi dari rumah ke rumah untuk memberikan pemeriksaan perubatan kepada penduduk yang memerlukan, dan akan diteruskan sehingga keadaan kembali seperti sedia kala.

Menurut Mastura, inisiatif itu akan diperkemaskan lagi dan seterusnya boleh dijadikan sebagai contoh kepada pegawai-pegawai bersekutu yang lain, untuk turut sama menyertai usaha memulihkan hidup masyarakat.

“Sekarang kita sudah sampai tahap pascabanjir, inilah masanya kita minta ahli bersekutu kita untuk sama-sama berusaha dan memikirkan segala perkara yang kita boleh bantu untuk bina semula hidup mangsa-mangsa banjir,” katanya. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat