KUALA LUMPUR- Kerajaan Negeri Johor menegaskan kepada mana-mana pekerja beragama Islam yang dihalang majikan untuk melaksanakan solat Jumaat boleh membuat aduan kepada pihak atasan.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor Mohd Fared Mohd Khalid berkata, tindakan tegas akan diambil kepada majikan berkenaan sekiranya terdapat unsur diskriminasi dalam menjalankan ibadah berkenaan.
“Sesiapa yang tidak membenarkan pekerja menunaikan solat Jumaat atau waktu solat pada waktu kerja mereka disusahkan, maka pekerja boleh mengadu perkara itu kepada JTK di bawah Akta Pekerja kerana diskriminasi dan majikan terlibat akan diambil tindakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Abdul Aziz Talib (PN-Maharani) mengenai kesediaan kerajaan negeri memudahkan pelaksanaan solat Jumaat bermula 1 Jan 2025 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar di Johor pada Selasa.
Pada 7 Oktober lepas, Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail bertitah penyelarasan semula cuti hujung minggu kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari 2025 di Johor mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan pandangan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).
Tunku Mahkota Ismail turut bertitah agar semua syarikat swasta, pihak kerajaan dan pihak berkaitan memberikan ruang dan masa yang mencukupi untuk pekerja Muslim menunaikan solat Jumaat.
Menteri Besar JohorDatuk Onn Hafiz Ghazi ketika membentangkan Belanjawan Johor 2025 pada persidangan DUN Khamis lepas memaklumkan kerajaan negeri menetapkan tempoh waktu rehat hari Jumaat bagi sektor awam dan swasta dipanjangkan kepada dua jam bermula 1 Januari tahun depan berbanding hanya satu jam 30 minit ketika ini.