KUALA LUMPUR – Selepas perbincangan hati ke hati, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali disahkan sedia untuk dilantik sebagai Setiausaha Agung Bersatu yang baharu.
Perkara itu dimaklumkan oleh Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, beliau sudah berbincang dari ‘hati ke hati’ dengan Adun Hulu Kelang itu dan pelantikan itu dipersetujuinya.
“Saya sudah bertemu dan bincang hati ke hati, apa yang patut dibuat dan Alhamdulillah, beliau dengan rela bersetuju. Tiada isu lagi.
“Kita nak jadikan Bersatu sebagai satu parti contoh dari segi pengurusan dan pentadbiran, tiada rasuah dan buat kerja secara bersungguh-sungguh,” lapor Sinar Harian pada Selasa.
Portal berita itu juga hari ini mengesahkan Mohamed Azmin menerima tawaran berkenaan.
Muhyiddin dilaporkan berkata berkemungkinan pengumuman rasmi pelantikan Azmin ke jawatan itu akan dibuat selesai Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) atau pada hari perhimpunan.
Dilaporkan sebelum ini, Mohamed Azmin menolak tawaran jawatan berkenaan kerana mahu fokus kepada PN Selangor yang diketuainya dalam misi menawan negeri itu pada pilihan raya akan datang.
Julai lalu, Muhyiddin mengumumkan dua jawatan tertinggi parti itu bagi penggal akan datang sudah diisi secara rundingan dalam kalangan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) setakat ini.
Menurut beliau, dua jawatan itu ialah Timbalan Presiden yang ditawarkan kepada Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainudin manakala Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang kini ahli MPT ditawarkan jawatan Setiausaha Agung.