Umpama rezeki terpijak

- Advertisement -

Platform media sosial TikTok tidak disangkal menjadi medan penting memperkenal variasi bakat dari seluruh dunia termasuk penyanyi.

Seorang lagi pendatang baharu, Luke Chiang tidak terkecuali.

Luke, 23, yang berasal dari Taiwan dan kini berhijrah ke Amerika Syarikat tiba-tiba meledak dengan lagu Shouldn’t Be baru-baru ini sekali gus meraih pengikut dan karier muziknya berkembang.

Dalam temubual bersama RAP menerusi Zoom baru-baru ini, Luke jelas tersentuh dengan sambutan luar biasa itu.

Dia tidak menyangka lagu Shouldn’t Be yang sudah lama dilancarkan kini baharu digilai di seluruh dunia.

“Mulanya saya tidak pasti sama ada ia tular, tetapi beberapa bulan lalu ia meledak dengan jumlah penstriman mencecah ratusan ribu ketika itu. Bagi saya, angka itu sudah cukup menyeronokkan.

“Pada masa sama, saya rasa lega sangat kerana ia menjadi bukti bahawa muzik saya sebenarnya ada kualiti. Sebagai seorang yang membesar di Asia, ia satu pencapaian di luar jangkaan saya,” katanya.

Apa yang menarik, Luke beranggapan ia adalah rezeki terpijak buatnya. Sewaktu mula-mula melancarkan lagu itu dulu, dia akui kebimbangan bersarang dalam fikiran sekiranya Shouldn’t Be tidak berjaya.

“Sejujurnya, saya sendiri tidak sukakan lagu itu dulu. Saya hampir tidak mahu lancarkannya, namun rakan terdekat yang memberi jaminan serta desakan untuk berbuat demikian.

“Siapa sangka, kini ia menjadi lagu saya yang paling popular. Semestinya perhatian yang saya dapat sekarang masih lagi sukar untuk saya hadam dalam fikiran,” katanya.

Berkongsi mengenai muziknya, Luke sentiasa berpegang kepada prinsip karya dihasilkan perlu malar segar. Justeru, dia sangat menitikberatkan penghasilan bunyi lagu yang mampu dikenang lama walaupun era bersilih ganti.

Baginya, penulisan lagu yang berkesan datangnya daripada perasaan berani menunjukkan kerapuhan diri. Hakikatnya, dia dapat berkarya lebih puas apabila idea tercetus daripada perasaan begitu.

“Menjadi rapuh itu semestinya menakutkan. Tapi ia menjadikan penulisan sesebuah lagu akan jadi lebih ‘natural’ dan mudah untuk hasilkan muzik. Saya pula memang jenis mahu bunyi serta lirik lagu ditulis kena betul-betul tepat.

“Lagu yang berjaya menyentuh hati terdalam saya, saya yakin ia dapat berbuat demikian kepada pendengar lain juga. Berbanding lagu yang mesra telinga, riang, tapi liriknya kosong serta gagal tonjolkan nilai estetika muzik artis tertentu.

“Muzik yang saya mahu capai adalah apabila seseorang pendengar itu akan perdengarkan ia kepada anaknya suatu hari nanti. Masih jauh perjalanan ke tahap itu, namun saya mahu lakukannya,” katanya.

Menariknya, Luke juga adalah penyanyi yang cukup kaya vokalnya. Dia memiliki tona suara yang memukau dan mengingatkan kepada tona penyanyi-penyanyi R&B hebat lama seperti Brian McKnight.

Berkongsi perihal itu, ternyata dia memang sudah mengasah vokalnya sejak dari bangku sekolah. Menurutnya, dia tidak memasuki kelas vokal formal tapi lebih banyak buat latihan sendiri.

“Sewaktu masih kanak-kanak, saya pernah memasuki koir. Dari situlah saya belajar menyanyi serta teknik-teknik seperti buat suara harmoni dan pernafasan yang betul.

“Apabila memasuki sekolah menengah, ada juga saya masuk kelas muzik namun tidak lama. Selepas itu, saya banyak mendengar nyanyian penyanyi kegemaran saya dan meniru teknik nyanyian mereka,” katanya.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat