Satu pihak saja kutip royalti!

- Advertisement -

Kuala Lumpur: Penyanyi lagenda Datuk Khatijah Ibrahim menyokong penuh usaha Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez untuk menyelesaikan masalah royalti artis.

Khatijah yang juga juri tetap program Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7) berkata, dia menyokong jika diwujudkan satu badan kutipan sahaja.

“Sebagai Pengerusi MACP yang pertama, Freddie tahu banyak perkara berkenaan isu hak cipta dan royalti.

“Dia sudah mengikuti perkembangan isu royalti artis dari awal dan sudah cuba menuntut keadilan bagi pihak artis dan pemuzik rakaman yang lagu mereka dipersembahkan di tempat awam selama 20 tahun.

“Tapi ramai artis masih keliru dengan keadaan berkenaan royalti. Saya sendiri amat kecewa dengan syarikat rakaman naungan saya dulu kerana tak menjelaskan mengenai apa yang berlaku atau tak ambil tindakan bagi pihak saya untuk menentukan bahawa saya dapat royalti yang menjadi hak saya apabila lagu saya ke udara,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

Khatijah berkata, selepas 20 tahun Akta Hak Cipta dipinda untuk memberi hak kepada artis, dia hanya memperolehi beratus ringgit sahaja royalti dari PRISM lama.

“Saya rasa kekeliruan artis berpunca dari kewujudan dua badan yang mewakili artis yang mana kedua-duanya iaitu Recording Performers Malaysia (RPM) dan Performers’ And Artistes’ Interests (PRISM) tak diuruskan dengan baik kerana kelemahan dalam pengurusan dan Ahli Lembaga Pengarah.

“Sudah tiba masanya hanya satu badan diwujudkan untuk memperjuangkan hal royalti artis dan saya yakin dengan kebolehan Freddie untuk menyatu padukan semua artis di bawah satu badan dan menentukan satu jumlah yang signifikan diperuntukkan kepada artis setiap tahun.

“Saya menyokong penuh usaha untuk kembalikan Music Rights Malaysia Berhad (MRM) sebagai badan tunggal yang mengutip royalti,” katanya.

Menurut Khatijah, tiada sebarang masalah yang berlaku ketika MRM diberi mandat menguruskan perkara terbabit sebelum ini.

“Semuanya berjalan dengan lancar. Saya berharap kerajaan tak akan membenarkan orang tertentu yang tamak untuk musnahkan satu sistem yang baik yang dah dibuktikan sebelum ini. Kerajaan dan MyIPO harus tegas dalam hal ini,” katanya.

Terdahulu isu ini hangat diperkatakan apabila Freddie Fernandez mendesak Pengerusi Recording Performers Malaysia (RPM), Datuk Sheila Majid meletak jawatan berikutan kegagalannya menyelesaikan isu royalti artis.

Freddie yang mendakwa mendapat sokongan ramai penyanyi dan pemuzik berkata, jawatan terbabit sudah tujuh tahun disandang oleh Sheila, tetapi isu royalti belum ada kesudahan sehingga kini.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat