Pekerjaan, inflasi dan kos sara hidup isu sebenar PRN Sabah – Akademia UMS

KOTA KINABALU, – Isu sebenar yang paling dekat dengan rakyat Sabah bukan lagi soal politik identiti atau keselamatan, tetapi peluang pekerjaan, inflasi dan kos sara hidup.

Itu pandangan Prof. Madya Dr. Syahruddin Awang Ahmad, Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Malaysia Sabah (UMS), yang menegaskan bahawa tumpuan kempen politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 seharusnya berpaksikan kepada realiti ekonomi rakyat, bukan isu sensasi.

“Kalau kita lihat kepada data dan dapatan kajian bebas, tiga perkara utama yang rakyat Sabah risaukan ialah peluang pekerjaan, inflasi dan kos sara hidup. Tapi kempen politik masih banyak bercakap soal retorik dan sentimen,” katanya dalam Podcast Jam Kesebelas bersama hos Ab Jalil Backer dan Elviza Michelle Kamal.

Beliau berkata, ramai anak muda Sabah sebenarnya mahu bekerja di negeri sendiri, namun kurang peluang pekerjaan yang setara dengan kelulusan dan kemahiran mereka.

“Anak muda Sabah tak mahu berhijrah ke Semenanjung. Mereka mahu kerja yang stabil di Sabah. Tapi isu ‘matching’ antara graduan dan pasaran kerja masih belum selesai sejak lebih 20 tahun,” katanya.

Dr. Syahruddin menjelaskan, sejak 2010, isu ketidaksepadanan peluang kerja dan kemahiran graduan tempatan telah berulang kali muncul dalam manifesto pilihan raya, tetapi tidak disusuli tindakan berkesan.

“Isu pekerjaan ini sudah disebut sejak dua dekad lalu. Ia masuk manifesto setiap kali pilihan raya, tapi tiada jaminan pelaksanaan. Janji tanpa jaminan akhirnya jadi sekadar bahan kempen,” ujarnya.

Menurut beliau, fenomena ini menyebabkan rakyat beralih tumpuan kepada isu-isu lain seperti “Justice for Zara Khairina” dan tuntutan 40 peratus hasil Sabah, kerana merasakan isu ekonomi mereka tidak diendahkan.

“Bila isu ekonomi tidak ditangani, rakyat akan cari isu lain yang lebih emosional untuk disuarakan. Itu tanda kegagalan komunikasi ekonomi oleh parti politik,” jelasnya.

Beliau menegaskan bahawa parti-parti yang mahu kekal relevan selepas PRN kali ini perlu berani beralih daripada politik retorik kepada politik dasar, dengan menampilkan rancangan ekonomi yang realistik dan boleh dilaksanakan.

“Pengundi Sabah sekarang lebih matang. Mereka mahu tahu bukan siapa calon, tapi apa rancangan sebenar untuk pekerjaan dan kos hidup,” tegas beliau.-SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat