KOTA KINABALU, – Isu pendatang tanpa izin (PATI) terus menjadi bahan politik paling sensitif menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, meskipun data rasmi menunjukkan jumlahnya semakin menurun dalam tempoh sepuluh tahun kebelakangan.
Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Syahruddin Awang Ahmad, berkata kajian dan laporan kerajaan membuktikan usaha penguatkuasaan berjaya mengekang peningkatan PATI, namun persepsi awam terhadap isu keselamatan masih kekal negatif.
“Mengikut data Kementerian Dalam Negeri, memang ada penurunan dari segi jumlah pendatang tanpa izin. Tapi isu ini mudah dibangkitkan setiap kali pilihan raya, kerana persepsi negatif terhadap kerajaan boleh dijadikan modal politik,” katanya dalam Podcast Jam Kesebelas bertajuk “PRN Sabah: Cabaran Keselamatan dan Tuntutan Demokrasi” yang dihoskan oleh Ab Jalil Backer*dan Elviza Michelle Kamal.
Menurut beliau, kedudukan geografi Sabah yang luas dengan garis sempadan darat dan laut berhadapan Filipina serta Indonesia menjadikan negeri itu sentiasa berisiko tinggi terhadap isu keselamatan rentas sempadan.
“Sabah ini unik. Ia bersempadan dengan dua negara. Jadi, isu kemasukan tanpa izin tidak boleh dihapus sepenuhnya, tetapi mesti diurus secara strategik dan berterusan,” jelasnya.
Dr. Syahruddin menjelaskan, meskipun penubuhan Eastern Sabah Security Command (ESSCom) dan Eastern Sabah Security Zone (ESSZone) selepas insiden Lahad Datu 2013 telah meningkatkan tahap kawalan keselamatan, persepsi masyarakat tidak berubah sepantas fakta di lapangan.
“Ada peningkatan operasi dan tangkapan, tapi dalam politik persepsi lebih kuat daripada data. Itulah cabarannya,” katanya.
Beliau turut menekankan pentingnya komunikasi kerajaan yang lebih berkesan supaya langkah keselamatan yang dijalankan difahami rakyat, dan tidak disalah tafsir sebagai tekanan terhadap pembangkang ketika musim pilihan raya.
“Kawalan keselamatan tidak boleh dilihat sebagai tekanan politik. Ia adalah tanggungjawab mempertahankan kedaulatan,” tegas beliau.
Dr. Syahruddin menambah, kestabilan demokrasi dan keyakinan rakyat terhadap proses pilihan raya di Sabah banyak bergantung kepada sejauh mana kerajaan berjaya mengurus persepsi keselamatan dengan komunikasi yang telus dan konsisten.
“Keselamatan dan demokrasi mesti berjalan seiring. Bila rakyat rasa selamat, keyakinan terhadap pilihan raya pun meningkat,” katanya.-SUARA.TV



