AYER KEROH — Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan supaya label “derhaka” dan “biadab” tidak digunakan sebelum kedudukan institusi kesultanan, adat serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri difahami.
“Pegangan yang sama mesti memandu kita dalam memahami institusi kesultanan, adat dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri. Kedudukan serta tanggungjawab setiap institusi perlu diperhalusi sebelum sesuatu pertikaian dinilai.
“Janganlah label derhaka dan biadab mendahului kefahaman tentang duduk perkara,” katanya ketika merasmikan Musyawarah Nasional: Membongkar Polemik Tanah Melayu di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.
Kenyataan itu hadir selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 September lalu menyifatkan tindakan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim dan barisan Exco yang didakwa mempertikaikan kedudukan Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, sebagai “biadab” dan “tidak bertamadun”.
Anwar berkata demikian kepada media ketika menaiki kereta api laju dari Shanghai ke Hangzhou.
Ahmad Zahid tidak menyebut nama Anwar, namun dalam ucapannya beliau turut menegur pemimpin yang menurutnya “bercakap di atas kereta api dan membelasah tiada adab, tiada tamadun”.
“Tugas kepimpinan utama ialah menjernihkan kekusutan dengan ilmu dan kebijaksanaan sambil memelihara martabat institusi,” katanya.
Ahmad Zahid, yang juga Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional, menegaskan parti itu sentiasa menjunjung institusi Raja serta tertib Perlembagaan. Menurutnya, perbezaan politik tidak seharusnya menghakis adab terhadap institusi diraja.
Beliau berkata penghormatan kepada Perlembagaan mesti kekal teguh walaupun sesuatu keputusan tidak menepati kehendak pihak tertentu.
“Inilah pegangan yang mesti kita wariskan, iaitu teguh mempertahankan prinsip, adil menghormati hak dan bijaksana mengurus perbezaan,” katanya.



