KUALA LUMPUR – Radio Televisyen Malaysia (RTM) menjalin kerjasama strategik dengan YTL Corporation Berhad, penaja utama siaran Piala ASEAN FIFA 2026, bagi membawakan lima perlawanan terpilih kepada penonton di seluruh negara.
RTM selaku penyiar rasmi akan menyiarkan tiga aksi Kumpulan A melibatkan Harimau Malaya, selain perlawanan penentuan tempat ketiga dan perlawanan akhir. Siaran boleh ditonton menerusi Sukan+ RTM atau distrim melalui aplikasi RTMKlik.
Malaysia sudah membuka kempen dengan kemenangan 3-0 ke atas Bangladesh pada Jumaat. Dua lagi perlawanan kumpulan akan menemukan skuad negara dengan Indonesia pada 28 September dan Singapura pada 1 Oktober.
Pada 25 September lalu RTM telah menyiarkan siaran langsung perlawanan antara Malaysia dan Bangladesh.
Siaran langsung seterusnya ialah pada 28 September ketika pasukan negara menentang Indonesia (8.30 malam) dan pada 1 Oktober menentang Singapura (8.30 malam).
Siaran langsung lain ialah pada 5 Oktober bagi penentuan tempat ketiga pada jam 5.00 petang dan perlawanan akhir pada jam 9.00 malam.
Menurut kenyataan RTM, sokongan YTL membantu memperluas akses rakyat kepada siaran sukan berkualiti, sekali gus memberi peluang kepada penyokong mengikuti perjuangan pasukan negara sepanjang kejohanan.


