BMC Family 360° kukuhkan ikatan keluarga dan komuniti di Bandar Mahkota Cheras

BMC Mall, Bandar Mahkota Cheras, menjadi tumpuan ribuan keluarga minggu lalu apabila hampir 10,000 pengunjung berkumpul untuk menghadiri pesta keluarga BMC Family 360°, acara tiga hari yang meraikan nilai kebersamaan, pendidikan, hiburan dan gaya hidup seimbang.

Acara yang membawa tema “A Step to the Future” itu memberi ruang kepada pengunjung daripada pelbagai peringkat umur untuk menikmati aktiviti santai bersama keluarga sambil menimba ilmu baharu. Tidak sekadar pesta, ia juga menjadi medan untuk menghubungkan masyarakat bandar dengan nilai komuniti dan kepentingan hidup harmoni.

Sepanjang acara berlangsung, pelbagai sudut aktiviti disediakan daripada pameran teknologi dan kesihatan, ruang pendidikan interaktif untuk kanak-kanak, sehingga ke permainan keluarga yang menggalakkan kerjasama antara ibu bapa dan anak.

Mini Zoo pula menjadi tumpuan utama, khususnya bagi generasi muda yang teruja melihat haiwan eksotik seperti meerkat, skunk dan burung kakak tua. Ikon acara, Nabila Razali, berkongsi keterujaannya selepas berpeluang berinteraksi secara dekat dengan haiwan tersebut.

“Biasanya kita tengok haiwan-haiwan ni dalam TV sahaja. Tapi di sini, anak-anak boleh lihat sendiri depan mata. Ia satu pengalaman berharga yang bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga mendidik,” katanya.

Selain ruang riadah, pameran oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga menarik perhatian ramai. Pengunjung berpeluang meninjau peralatan ketenteraan dan mendengar penjelasan tentang fungsi setiap kelengkapan. Pendedahan ini memberi kefahaman bahawa peranan pasukan keselamatan bukan sekadar mempertahankan negara, tetapi juga menyumbang kepada keamanan yang menjadi asas kesejahteraan komuniti.

“Ini sesuatu yang Bella tak jangka akan jumpa di pesta keluarga. Rupanya banyak perkara yang boleh kita belajar tentang peranan tentera dalam kehidupan harian,” ujar Nabila lagi.

Kemeriahan acara turut dilengkapkan dengan Persembahan Malam SDG yang menampilkan gabungan muzik, tarian, dan mesej positif. Persembahan Nabila Razali dengan beberapa lagu popular disambut sorakan penonton, diikuti persembahan artis muda berbakat daripada Talenthaus yang menggabungkan piano, violin dan vokal secara kreatif.

Segmen hiburan tersebut ditutup dengan persembahan tarian ballet dan K-pop yang membuatkan pengunjung pelbagai generasi terpaku sehingga ke akhir acara.

BMC Family 360° merupakan hasil kolaborasi antara AI Global, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), BMC Mall, iBidan dan CelcomDigi. Gabungan sektor swasta, agensi kerajaan dan komuniti tempatan menjadikan acara ini lebih bermakna kerana ia memperlihatkan bagaimana sokongan bersama dapat menghidupkan satu perayaan berskala besar.

Menurut penganjur, matlamat utama acara ini ialah mendidik masyarakat bahawa gaya hidup lestari bukan hanya tentang teknologi hijau, tetapi bermula dengan perkara asas seperti kebersamaan keluarga, penghargaan terhadap alam sekitar, dan sokongan kepada komuniti.

Bagi ramai pengunjung, acara ini bukan sekadar ruang hiburan, tetapi satu peluang berkumpul dengan keluarga dan jiran tetangga dalam suasana yang sihat dan positif. Kehadiran hampir 10,000 orang membuktikan bahawa masyarakat masih dahagakan acara yang berteraskan nilai kekeluargaan dan kebersamaan, di samping hiburan yang sesuai untuk semua peringkat umur.

“Bella bangga dapat bersama dalam program macam ni. Ia bukan sahaja menyeronokkan, tetapi juga beri banyak pengajaran tentang hidup berkomuniti dan pentingnya kita menjaga satu sama lain,” kata Nabila menutup bicaranya.

Dengan pengisian pelbagai dimensi  pendidikan, hiburan, kesedaran sosial dan interaksi mesra – BMC Family 360° tahun ini membuktikan bahawa pesta keluarga mampu menjadi jambatan menghubungkan masyarakat bandar dengan nilai murni yang semakin perlu dititikberatkan dalam kehidupan moden.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat