Kesihatan seksual lelaki semakin mendapat perhatian dalam wacana kesihatan awam di Malaysia. Isu seperti mati pucuk (Erectile Dysfunction, ED) dan pancut awal (Premature Ejaculation, PE) bukan sahaja melibatkan hubungan intim, malah menjadi petunjuk penting kepada tahap kesihatan menyeluruh seorang lelaki.
Kajian antarabangsa menunjukkan bahawa dua daripada tiga lelaki berisiko mengalami masalah ini sepanjang hayat mereka. Di Malaysia, realiti ini semakin jelas apabila ramai lelaki mula tampil mendapatkan rawatan berikutan kesedaran yang semakin meningkat.
Menurut Pengarah Urusan HIM Wellness, Dr. Ahmad Samhan, kesihatan seksual lelaki tidak boleh dilihat secara terpisah daripada aspek kesihatan fizikal, mental, dan gaya hidup.
“Apabila seorang lelaki berdepan masalah seksual, ia selalunya berkait rapat dengan faktor lain seperti tekanan darah tinggi, diabetes, paras hormon yang rendah, tekanan emosi atau gaya hidup tidak sihat. Ia memberi mesej bahawa tubuh sedang memberi amaran awal,” katanya ketika berucap pada Seminar Pengukuhan Dan Sambutan Bulan Kesedaran Kesihatan Lelaki anjuran Klinik Kesihatan Sungai Besi bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Dr. Ahmad menekankan bahawa masalah kesihatan seksual lelaki kini semakin ketara dalam kalangan mereka yang berusia muda. Faktor utama adalah gaya hidup moden kerja yang penuh tekanan, kurang tidur, pemakanan tidak seimbang, merokok serta kurang bersenam.
“Jika dahulu ia dianggap penyakit orang berusia, kini ramai lelaki dalam lingkungan 30-an juga sudah menunjukkan tanda-tanda ED dan PE. Ini kerana gaya hidup harian memberi kesan langsung kepada sistem saraf, hormon dan aliran darah,” ujarnya.
Beliau menambah bahawa berita baiknya, masalah ini boleh dirawat. Rawatan yang ditawarkan kini bukan sahaja berbentuk ubat, tetapi juga merangkumi kaedah moden seperti shockwave therapy untuk memperbaiki aliran darah zakar, senaman kegel untuk menguatkan otot lantai pelvik, serta teknik kawalan minda dan pernafasan.
Namun begitu, asas utama kepada pemulihan tetap bergantung pada perubahan gaya hidup sihat berhenti merokok, menjaga berat badan, mengawal paras gula, bersenam secara berkala dan mengurus tekanan mental.
“Rawatan akan lebih berkesan apabila digabungkan dengan gaya hidup yang sihat. Lelaki yang mengambil langkah proaktif menjaga kesihatan biasanya menunjukkan pemulihan lebih cepat,” jelas Dr. Ahmad.
Selain itu, sokongan daripada pasangan turut memainkan peranan besar dalam proses pemulihan. Lelaki yang mendapat dorongan daripada isteri lebih berani untuk mendapatkan pemeriksaan awal dan rawatan. Hal ini bukan sahaja membantu hubungan rumah tangga, malah meningkatkan kesejahteraan keluarga secara keseluruhan.

“Kesihatan lelaki bukan isu individu semata-mata. Ia melibatkan keseimbangan keluarga dan masyarakat. Apabila lelaki sihat, rumah tangga lebih harmoni dan produktiviti hidup meningkat,” tambah beliau.
Seminar yang diadakan turut memberi penekanan kepada usaha menghapuskan salah tanggapan masyarakat. Ramai yang beranggapan bahawa masalah ED atau PE adalah kelemahan diri atau sesuatu yang memalukan. Hakikatnya, ia adalah isu kesihatan yang boleh dirawat jika dikesan awal.
Program ini juga membuka ruang perbincangan tentang kepentingan pemeriksaan awal dan penjagaan kesihatan seksual sebagai sebahagian daripada kesihatan lelaki secara menyeluruh.
HIM Wellness Sdn. Bhd., pusat kesihatan lelaki di Kuala Lumpur, terus komited untuk meningkatkan kesedaran dan kesejahteraan lelaki Malaysia. Melalui pendidikan, konsultasi profesional dan program kesedaran awam, HIM Wellness menyokong usaha Kementerian Kesihatan Malaysia untuk memperkukuh kesihatan masyarakat.
“Harapan kami adalah untuk menjadikan kesihatan lelaki sebagai agenda nasional. Apabila lelaki menjaga diri mereka, ia memberi kesan positif kepada keluarga dan seterusnya menyumbang kepada kemajuan negara,” kata Dr. Ahmad.



