KOTA KINABALU — Daerah Keningau yang berpotensi besar dalam sektor pertanian bakal mengeluarkan produk melibatkan industri pertanian buah buahan dan akan diperkenalkan dalam masa terdekat.
Bercakap kepada Suara TV, Ketua UMNO Bahagian Keningau, Nik Mohd Nadzri Nik Zawawi ketika berkata, produk itu juga akan dikomersilkan secara meluas sekaligus menjadi tarikan pengunjung.
“Kalau saya sebut, pengeluar sayur kubis ialah di Kundasang. Kalau kopi, di Tenom. Jadi kita juga kena wujudkan bila sebut Keningau, kita ada produk tersendiri.
“Oleh itu kita kena tingkatkan sektor pertanian. Insyallah kita akan wujud kan satu produk, dan orang akan ingat ia ada di Keningau,” katanya.
Selain itu jelasnya produk ini juga akan meningkatkan taraf ekonomi khususnya masyarakat di Keningau dan menjadi simbolik bagi daerah ini.
“Di Keningau, saya suka menyentuh sudut ekonomi, khususnya masyarakat di sini untuk ubah pemikiran masyarakat untuk meningkatkan ekonomi dengan mewujudkan satu produk.
“Kita perlu ubat persepsi atau cara pemikiran masyarakat Keningau pergi lebih jauh sekurangnya produk itu dapat kita bantu bukan sahaja di sini, tetapi kita dapat bawa lebih jauh mungkin ke daerah lain, semenanjung atau luar negara,” katanya.