KLUANG – Jentera Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) dan jentera Perpaduan sedang giat berusaha meraih undi pengundi Cina di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota dengan menghantar mesej bahawa calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah adalah bakal wakil rakyat yang akan berkhidmat dengan baik tanpa mengira kaum dan bangsa.
Ketua DAPSY, Dr Kelvin Yii Lee Wuen berkata, jentera DAP ketika ini turun padang bagi meyakinkan pengundi Cina di Mahkota bahawa Syed Hussien adalah calon yang terbaik untuk pimpin rakyat di kawasan tersebut.
“Kita akan fokus kepada kesesuaian calon kita (Syed Hussien) untuk mewakili pengundi di sini (Mahkota).
“Kami (DAPSY) akan berusaha untuk menyampaikan mesej kepada pengundi Cina khususnya, bagaimana beliau (Syed Hussien) akan berkhidmat dengan baik kepada pengundi. Tak kira kaum dan bangsa di Mahkota ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas ceramah kelompok Perpaduan, malam tadi.
Menurut Ahli Parlimen Bandar Kuching itu, jentera Perpaduan terutama DAP yakin konflik melibatkan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Akmal Saleh bukanlah fokus utama dalam PRK DUN Mahkota.
“Isu yang lebih penting yang kita nak lihat ialah bagaimana calon yang ada boleh memberikan idea yang bernas, memberi solusi dasar yang bagus untuk DUN Mahkota.
“Fokus PRK ini adalah untuk pilih calon yang boleh berkhidmat untuk pengundi-pengundi Mahkota dan Syed Hussien adalah calon terbaik. Saya memang yakin calon Perpaduan adalah calon yang terbaik untuk pimpin kawasan ini.
“Saya rasa kita akan fokus kepada kejayaan Kerajaan Persekutuan dan juga kerajaan negeri, dan itulah menjadi fokus untuk raih kepercayaan dan yakinkan pengundi di sini,” ujarnya.
Terdahulu, isu Teresa dan Dr Akmal menimbulkan ketegangan sehingga timbul dakwaan pengundi Cina akan protes untuk tidak keluar mengundi pada 28 Sept ini.