KUALA LUMPUR, 26 September 2023 – Perjalanan seninya bermula ketika menjadi salah satu peserta program realiti popular terbitan Astro iaitu Akademi Fantasia musim ke-13 pada 2016, kemudian nasib menyebelahinya pada tahun 2019 apabila dinobatkan sebagai Naib Juara di pertandingan berprestij Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-33 menerusi lagu ‘Bunga’, dan dari situ, bintang bernama Ara Johari mula bersinar.
Kini, setelah hampir setahun tidak muncul dengan mana-mana single, Ara membuat ‘comeback’ yang ditunggu-tunggu melalui lagu terbaharunya berjudul ‘SUDAH’ hasil ciptaan komposer terkenal, Hang Nadim serta Laq, dan liriknya ditulis oleh Bulan Penuh, manakala diterbitkan oleh label terkemuka tanah air, Rocketfuel Entertainment.
“Saya bukannya tidak mahu muncul dengan lagu baharu, tetapi proses pembikinan lagu ini mengambil masa yang agak lama dan saya hendak pastikan ianya betul-betul bermutu, baharulah saya akan lancarkannya.
“Lagu ini sudah pun wujud sejak 2019 lagi dan hanya berada dalam simpanan, abang Zimi yang jelaskan sudah sampai masanya lagu ini dikeluarkan, jadi kami putuskan untuk lancarkannya pada tahun ini juga,” jelas pemilik nama sebenar Nurfarrah Izzatie Johari, 26 tahun.
SUDAH merupakan single bergenre balada rock dengan ‘vibe’ lagu-lagu di era 90-an yang ‘hits’, sama seperti single Bunga yang pernah fenomena suatu ketika dahulu, tambah Ara lagi, “Sebenarnya, ramai peminat yang mahukan lagu seperti Bunga dihasilkan semula dan lagu ini adalah jawapannya dan hadiah untuk mereka semua.
“Jalan ceritanya pula mengisahkan tentang sebuah perhubungan yang dibina bertahun lamanya, banyak dugaan yang dihadapi bersama, tetapi apabila hanya sebelah pihak sahaja yang setia dan tidak sebaliknya, walaupun setelah banyak peluang telah diberikan demi mempertahankan hubungan tersebut, namun akhirnya dikhianati juga.
“Saya berharap agar semua pendengar dapat menerima lagu SUDAH ini dengan sebaiknya, dan semoga liriknya ‘bisa’ membuat rakyat Malaysia semakin ‘galau’.
Lagu ‘SUDAH’ boleh dimuat turun di iTunes dan boleh juga dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian pilihan utama seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.
Manakala lirik video ini boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network.