KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa penyedia perkhidmatan penghantaran makanan (p-hailing) di negara ini tidak mengenakan tindakan penalti ke atas penghantar yang menolak pesanan penghantaran melibatkan barangan tidak halal.
PPIM dalam satu kenyataan melihat isu itu dengan serius kerana ia bukan semata-mata seperti menerima atau menolak pesanan tetapi ia melibatkan hak penghantar Muslim untuk mencari rezeki tanpa dipaksa memilih antara pendapatan dan pegangan agama.
“Apabila seseorang penghantar menolak sesuatu pesanan, penolakan tersebut mungkin memberi kesan kepada kadar penerimaan pesanan mereka bergantung pada sistem yang digunakan oleh jenama platform.
“Sekiranya pesanan tersebut melibatkan arak, khinzir atau barangan lain yang nyata tidak halal, penghantar Muslim perlu diberi ruang menolak pesanan berkenaan tanpa memberi kesan kepada kadar penerimaan pesanan mereka,” menurut kenyataan itu.
PPIM mahu penolakan atas faktor agama tidak seharusnya menyebabkan penghantar makanan kehilangan insentif, prestasi dikategorikan menurun, kehilangan akses di zon tertentu, diberi amaran atau berdepan sekatan akaun.
Syarikat penyedia platform diyakini ada keupayaan teknologi untuk membezakan antara penolakan pesanan biasa dengan penolakan yang dibuat atas alasan agama yang munasabah, menurut PPIM.
Persatuan itu meminta syarikat penyedia perkhidmatan memperkenalkan satu pilihan pengecualian berasaskan keperluan agama atau “religous exemption” dalam sistem digital masing-masing.
“Melalui mekanisme tersebut, penghantar Muslim boleh memilih untuk tidak
menerima kategori pesanan yang jelas melibatkan barangan tidak halal seperti arak
dan khinzir,” katanya.
PPIM juga menggesa pihak berkuasa seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk masuk campur kerana isu halal dan haram ini sudah pun menerobos masuk ke ekonomi digital.
“Perkembangan pesat ekonomi digital telah menyebabkan persoalan halal dan haram
tidak lagi terhad kepada pengeluaran makanan, premis, ramuan atau pensijilan
produk.
“Ia kini turut menyentuh rantaian perkhidmatan digital termasuk penghantaran
barangan kepada pengguna,” katanya.


