4 pemimpin politik Barisan Nasional bakal berhadapan tindakan undang-undang esok?

KUALA LUMPUR, — Empat tokoh yang mempunyai kaitan dengan Barisan Nasional (BN) dijangka berhadapan proses undang-undang berasingan esok, termasuk pendakwaan dan permohonan reman, menurut maklumat yang diperoleh Suara.TV.

Mereka ialah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan; bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim; serta bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Setakat ini, tindakan terhadap Ismail Sabri telah dilaporkan secara terbuka apabila beliau dijadualkan hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis bagi menghadapi pertuduhan dipercayai berkaitan pengisytiharan harta.

Pertuduhan terhadap Ismail Sabri sebelum ini sepatutnya dibacakan pada 7 Ogos lalu, namun prosiding berkenaan tidak dapat diteruskan susulan keadaan kesihatannya.

Bagaimanapun, Suara.TV turut difahamkan seorang lagi pemimpin kanan BN, M. Saravanan dijangka berhadapan tindakan pendakwaan esok.

Butiran mengenai pertuduhan yang mungkin dihadapi bekas Menteri Sumber Manusia itu bagaimanapun belum dapat dipastikan dan belum ada pengumuman rasmi daripada pihak berkuasa setakat berita ini ditulis.

Dalam perkembangan berasingan, sumber memaklumkan Abdul Azeez dan Mohd Irwan Serigar pula telah ditahan bagi membantu siasatan dan dijangka dibawa ke mahkamah esok bagi mendapatkan perintah reman.

Suara.TV bagaimanapun masih mendapatkan pengesahan rasmi berhubung penahanan kedua-dua mereka termasuk kes yang sedang disiasat dan lokasi permohonan reman akan dibuat.

Nama Abdul Azeez sebelum ini kembali menjadi perhatian susulan pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji.

Pada 16 Ogos lalu, anak Abdul Azeez menafikan laporan yang ketika itu tular mendakwa bapanya telah ditahan SPRM dan memaklumkan bekas Ahli Parlimen Baling itu berada di rumah. Abdul Azeez turut dilaporkan bersedia memberikan kerjasama sekiranya dipanggil berhubung RCI berkenaan.

Sementara itu, Mohd Irwan Serigar merupakan bekas pegawai tertinggi kerajaan yang pernah berhadapan prosiding mahkamah berkaitan enam pertuduhan pecah amanah jenayah membabitkan dana kerajaan berjumlah RM6.6 bilion berkaitan pembayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).

Sekiranya maklumat mengenai Saravanan, Abdul Azeez dan Mohd Irwan Serigar itu disahkan, esok bakal menyaksikan beberapa tindakan undang-undang berprofil tinggi berlangsung serentak membabitkan tokoh yang pernah memegang jawatan penting dalam kerajaan terdahulu.

Bagaimanapun, penahanan bagi tujuan siasatan dan permohonan reman tidak bermaksud seseorang itu telah didapati bersalah. Sebarang pertuduhan pula perlu dibuktikan oleh pihak pendakwaan melalui proses mahkamah.

Suara.TV sedang mendapatkan pengesahan lanjut daripada pihak berkaitan dan akan mengemas kini perkembangan dari semasa ke semasa.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat