‘RUU akan jadi kubur pekerja gig, hanya untungkan operator’ – persatuan

KUALA LUMPUR – Enam persatuan perkhidmatan e-hailing dan p-hailing menggesa Ahli Parlimen menolak Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 yang disifatkan tidak realistik serta membunuh pekerja gig.

Enam persatuan itu adalah Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia; Persatuan Perpaduan Rakan Penghantar Malaysia; Persatuan Penghantar Dan Penghantar E-Hailing Sabah; Persatuan Rakan Penghantar Melaka; Persatuan Kebajikan Perkhidmatan Penghantar Bermotosikal Perak dan Persatuan Rakan Penghantar Kedah.

Kesemua persatuan itu dalam kenyataan bersama mendakwa, RUU itu tidak realistik dan hanya menguntungkan segelintir operator, serta memberi kesan kepada mata pencarian puluhan ribu pemandu e-hailing dan p-hailing di negara ini.

Katanya, RUU itu adalah terburu-buru dan jika diluluskan, akan menjadi kubur kepada pekerja e-hailing serta p-hailing.

“RUU ini menyapu bersih semua jenis sektor gig ke dalam satu bakul. E-hailing, p-hailing, pekerja sambilan (freelancer) dan penjaja.

“Ia seolah-olah semua sektor mempunyai cabaran yang sama. Ini bukan perlindungan, tetapi ini kekeliruan,” kata kenyataan itu pada Selasa.

Keenam-enam persatuan yang mempunyai lebih 10,000 ahli seluruh negara itu, turut mempersoalkan pihak yang akan menganggotai tribunal dan majlis konsultatif yang disifatkan sekadar pendekatan kosmetik.

“Siapakah yang akan menganggotai Majlis Konsultatif, apakah jaminan majoriti suara pekerja didengar dan diteliti atau ia sekadar melantik mereka yang mengangguk setuju setiap masa.

“Lagi parah, isu sebenar seperti kadar komisyen yang ‘mencekik’ dan kadar tambang yang menurun langsung tidak disentuh,” katanya, lapor BH.

Sehubungan itu, mereka mendesak bacaan seterusnya bagi RUU itu dihentikan dan Penilaian Impak Peraturan (RIA) dijalankan.

Gabungan persatuan itu juga menuntut Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) diberikan mandat penuh sebelum sebarang undang-undang diluluskan.

“Mulakan dengan sektor e-Hailing dan p-Hailing dulu, bukan sapu semua sektor pekerjaan sendiri.

“Laksana skim manfaat mudah alih dengan kos dikongsi kerajaan dan platform, bukan ditolak bulat-bulat kepada pekerja,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat