Oleh: Zihan Zari
KUALA LUMPUR – Wanita UMNO Kedah sesekali tidak akan patah semangat, bertekad akan menggembleng tenaga, terus berusaha agar Kedah kembali ke tampuk Barisan Nasional (BN) dalam PRU 16 kelak.
Ketua Penerangan Wanita UMNO Kedah, Azifah Abdul Rahman berkata, walaupun menerima kekalahan yang amat memilukan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) lalu, UMNO tidak boleh jadi melukut tepi gantang, mestilah berusaha merampas Kedah dari Perikatan Nasional (PN).
Walaupun nampak sukar dan mencabar namun tiada yang mustahil sepertimana PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri menyaksikan BN merampas kembali kerusi itu dengan meraih majoriti besar 3,372 undi.
Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Pokok Sena berkata demikian ketika sesi perbahasan ucapan dasar Ketua Wanita UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, pada Khamis.
Menurutnya, keputusan PRU-15 wajar dijadikan iktibar untuk menilai kelemahan, memperbaiki dan merancang strategi yang lebih berkesan dan kembali bangkit bagi meraih kembali kepercayaan rakyat.
“Seperti kata pepatah, tidak ada gunung yang tidak dapat didaki, tidak ada lurah yang tidak dapat dituruni, kita kuatkan semangat, satukan hati, bina kekuatan dan bangkit semula membawa wadah perjuangan bangsa.
“Pemilihan calon winable, likeable, acceptable namun perlulah berkarisma, kemahiran berkomunikasi, keberanian dan jangan ada gunting dalam lipatan, adu domba, talam dua muka yang boleh menghancurkan hubungan baik sesama kita serta berhati-hatilah memilih kawan dan lawan.
“Inilah politik toksid yang perlu kita nyahkan dalam Wanita UMNO sepertimana diingatkan oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam ucapan perasmian Wanita, Pemuda dan Puteri.
“Kami mendesak kepimpinan tertinggi UMNO supaya memberi tumpuan kepada parlimen dan DUN supaya gerak kerja lebih tertumpu di kawasan yang berpotensi untuk menang pada PRU akan datang,
“Justeru itu, kami memohon supaya UMNO/ BN Kedah tidak dianaktirikan sebaliknya diberi punca kuasa yang lebih untuk bangkit semula, ”katanya.
“Isu kemudahan asas seperti masalah air belum lagi selesai dan masih ada lagi rungutan-rungutan daripada penduduk di Kedah berkenaan isu ini.
“Sebab itu, kami mahukan pemimpin yang selari dengan kerajaan Persekutuan yang boleh bergerak bersama- sama membangunkan negeri Kedah.
“Pada PRU dan PRN musim lalu, bermacam-macam janji manis ditaburkan oleh PN untuk berkhidmat dengan baik, sekarang ini muka pun tak nampak. Pengundi bila hendak bantuan cari UMNO/BN dan bila mengundi pilih PN.
“Kita sentiasa menjaga kebajikan rakyat tetapi rakyat menterjemahkan dalam kertas undi yang tidak memihak kepada kita, sedih dan kecewa dengan sikap mereka,”katanya lagi
“Demi kestabilan parti dan kesejahteraan rakyat, UMNO/BN bergabung bersama Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan perpaduan.
“Jagalah dengan baik, binalah keharmonian janganlah bertelagah sesama sendiri, jika ada masalah perlu diselesaikan secara bermufakat, cepat dan cermat.
“Jangan keluarkan kenyataan yang membolehkan sensitiviti orang Melayu Islam dan Bumiputera serta juga kaum- kaum yang lain .
“Kita perlu terima hakikat bahawa, rakyat tidak lagi melihat UMNO /BN sebagai satu wadah atau favourite party yang perlu diberikan mandat dan sokongan untuk memimpin negara ini,”ujarnya.
“Kita juga kena sedar bahawa, bukan sahaja telah gagal meraih sokongan rakyat malah seolah-olah kita tidak lagi dilihat sebagai parti yang memperjuangkan nasib orang-orang Melayu .
“Realiti ini amat sukar untuk dilafazkan tetapi inilah hakikat yang kita perlu sedar, terima dan insafi, ianya memang pahit untuk ditelan . Kita tidak boleh lagi tenggelam dengan nostalgia lama,”ujarnya.
“Politik khidmat kita tidak lagi mampu memenangi hati dan sokongan rakyat, Walaupun kita sering berkata UMNO banyak berjasa dan membantu rakyat namun tetap ditolak dalam PRU15 yang lalu.
“Meskipun UMNO telah banyak berjasa, ianya bukan tiket atau jaminan parti ini akan kekal relevan, banyak perkara yang perlu dilihat, ”ujarnya lagi.
“Impak pengundi muda berumur 18 tahun dan pendaftaran automatik juga penting kerana rata-rata mereka tidak terikat dengan mana-mana parti politik kerana faktor parti tidak mempengaruhi keputusan mereka untuk membuat pilihan dalam PRU.
“Kumpulan ini harus disantuni dengan bijaksana dan pendidikan politik harus dijuarai dan perlu melihat perkara ini sebagai satu agenda jangka masa panjang demi kebaikan UMNO, ”tambahnya.
“Proses pemulihan perlu dilakukan bagi membangkitkan kembali semangat perjuangan UMNO /BN di samping bersatu hati bagi membina negara, bangsa yang lebih utuh dan mapan, bukannya bertelagah sesama sendiri.
“Kita harus bersatu hati menerima keputusan kepimpinan dalam merancang strategi kerjasama politik antara parti dan istiqamah dalam perjuangan serta jangan lupa juga jasa orang lama, perlu dikenang.
“Wanita UMNO di semua peringkat telah berjuang dengan penuh tekad, semangat dan kudrat yang ada, demi memenangkan parti.
“Ianya amatlah dihargai kerana kesetiaan itu adalah kekayaan jiwa yang tiada taranya, ”tambahnya lagi – SUARA.TV