Krisis berpanjangan, Muss enggan kembali kepada May

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pernah menempa nama sebagai vokalis May, Muss, 54, namun, kini lebih selesa bergerak secara solo selepas membuat keputusan nekad meninggalkan kumpulan legenda itu pada 2019.

Muss atau nama sebenarnya, Mustaffa Din menyertai May pada 1986, namun, meninggalkan kumpulan itu selepas lima tahun sempat merakamkan sebuah album, sebelum menyertai kumpulan Strangers.

Pada 1996, Muss menyertai kumpulan Wings sehingga 2000, namun kembali bersama May pada 2002.

Muss percaya, dia tidak akan ditoleh ke belakang lagi selepas membuat keputusan meninggalkan May.

“Jika tanya apa yang nak dicapai lagi, sudah banyak perkara dilakukan. Saya tidak terlalu bermimpi atau bercita-cita tinggi nak buat macam-macam benda.

“Saya sudah memperlahankan banyak rentak sejak usia memasuki 50 tahun. Tak pernah terlintas pun nak bentuk kumpulan baharu. Cukuplah, dapat buat persembahan nyanyi dua tiga lagu secara solo.

“Kalau ada permintaan pun, menyanyi secara berkumpulan atau dengan band lain, mungkin bersifat projek istimewa sahaja,” katanya kepada BH Online.

Penyanyi kelahiran Ipoh, Perak itu berkata, dia mungkin masih terlintas menubuhkan band baharu jika masih pada usia awal 30-an atau 40-an.

“Usia menjengah angka lima siri, saya sudah menetapkan dalam hati untuk tidak buat kerja mencabar atau di luar keupayaan diri.

“Saya selesa ukur baju di badan sendiri. Kalau masih muda, mungkinlah bersemangat dan teruja nak buat pelbagai perkara.

“Namun, hati manusia juga ada kala boleh berubah. Siapa tahu jika tawaran hebat dengan bayaran lumayan, saya boleh mempertimbangkan,” selorohnya.

Bagi Muss, dia selesa hidup bersederhana tanpa perlu memikirkan kos sara hidup yang tinggi.

“Saya tak perlu ‘maintenance’ tinggi, jadi tak perlulah cari duit banyak. Andai nak hidup kaya, kenalah kerja lebih.

“Saya banyak menghabiskan masa di studio muzik, Sinar Studios milik saya di Setapak sejak diusahakan pada 2004 jika ada kelapangan.

“Saya juga banyak habiskan masa di studio selain bercucuk tanam di rumah.

“Studio pun saya tak buka kepada umum. Saya banyak buat kerja sendiri dalam studio. Ada keperluan menyunting video untuk dimuat naik dalam YouTube atau Facebook, saya lakukan sendiri atau minta bantuan rakan yang pakar,” katanya.

 

Banyak perkara berbangkit antara Muss dan anggota May, namun, enggan mendedahkan krisis yang berlaku.
Banyak perkara berbangkit antara Muss dan anggota May, namun, enggan mendedahkan krisis yang berlaku.

 

Ditanya mengenai survival seninya, Muss mengakui, penyertaannya dalam Gegar Vaganza (GV) musim ketujuh, dua tahun lalu banyak membantu.

“Saya bersyukur penyertaan dalam GV7 selama beberapa bulan dapat menampung kos sara hidup saya dan keluarga ketika era pandemik.

“Mulanya, saya berkira-kira juga nak menyertai GV7 kerana tahu format pertandingan yang memerlukan peserta menyanyikan pelbagai genre lagu.

“Umpamanya saya kena jadi orang lain. Tetapi, saya cabar diri dan bersyukur keputusan berkenaan membawa erti besar,” katanya.

Ditanya hubungannya dengan anggota May, Muss memilih tidak memanjangkan krisis yang berlaku.

“Jika ikutkan banyak perkara berbangkit. Cuma, saya tidak membalasnya dan lebih banyak berdiam diri.

“Saya malas nak cakap dan memanjangkan cerita kerana ia akan menjadi lebih remeh.

“Rasanya orang luar tak perlu diterangkan untuk memahami apa yang terjadi. Kalau tak faham biarlah kekal tidak faham.

“Apabila nak membetulkan sesuatu perkara, ia mendorong kepada hal memburukkan orang lain.

“Jadi, tiada maknanya. Kalau tak okay, tak okaylah jawabnya, begitulah juga sebaliknya,” katanya.

Namun, Muss berkata, bergerak solo memberi terjemahan berbeza.

“Maklumlah saya sudah biasa dengan kumpulan. Apabila bergerak solo, semua diuruskan sendiri tanpa mengira orang lain.

“Tetapi, biasalah ada kelebihan dan kekurangan untuk setiap aspek sama ada bergerak solo atau berkumpulan.

“Bergerak solo saya lalui dengan positif dan lebih bebas. Alhamdulillah, selepas peralihan ke fasa endemik, tawaran kerja seni berlimpah ruah sehingga hujung tahun.

“Cuma, hingga kini saya tak terlintas nak buat single baharu,” katanya.

 

Muss tidak canggung bekerjasama dengan Awie, Man Kidal dan Ritz Metalasia. - NSTP/Hairul Anuar Abd Rahim
Muss tidak canggung bekerjasama dengan Awie, Man Kidal dan Ritz Metalasia. – NSTP/Hairul Anuar Abd Rahim

 

Ditanya tahap kesihatannya, Muss berkata, ia agak stabil selepas pernah mengalami koma pada 2017.

“Ujian ibarat isyarat untuk saya membuka mata. Apa sahaja boleh berlaku tanpa diduga.

“Saya kini lebih menikmati dan menghargai hidup,” katanya.

Mengenai Konsert Rock On 40: : The Legends, Muss bakal berkongsi pentas dengan Datuk Awie, Ella dan Man Kidal di Istana

Budaya pada 2 dan 3 Disember depan.

Konsert berkenaan turut mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), malah, persembahan diiringi susunan muzik, Ritz Metalasia.

Muss berkata, dia dan artis lain masih belum berbincang mengenai persiapan dan perjalanan konsert.

“Secara rawak, kita tahu apa yang akan berlaku sepanjang konsert. Berkemungkinan, saya akan menyanyikan empat hingga lima lagu dalam tempoh setengah jam.

“Saya tidak canggung kerana sudah pernah bekerjasama dengan Awie, Ella dan Man Kidal. Cuma, bezanya persembahan ini bukan dengan band yang ada dinamik tersendiri.

“Saya sedikit demi sedikit sudah membuat persiapan secara fizikal seperti berjoging demi stamina.

“Cuma, persiapan tidaklah seperti 10 atau 20 tahun lalu pada usia ini. Akhirnya ia dibantu pengalaman dan kuasa Tuhan,” kata Muss.

Muss menyedari, ada situasi mutu suara berubah secara automatik atau lebih tepat, mengikut aliran.

Sebagai penyanyi dan penghibur, semuanya berlaku ikut keadaan. Ada lagu yang perlu kekalkan ‘key’ asal. Ada pula lagu yang diimprovisasi ikut keupayaan hari ini,” kata Muss.

Konsert Rock On 40: : The Legends bakal menggegarkan Panggung Sari, Istana Budaya (IB), Disember depan, menjadi manifestasi kepada keunggulan dan sumbangan besar genre rock dalam katalog muzik tempatan

Untuk pembelian tiket konsert boleh ke Instagram (IG) @menaranetwork.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat