Raihan sering dapat sokongan bukan Islam sejak dulu

- Advertisement -

Kuala Lumpur: Sejak di awal kemunculan, kumpulan nasyid legenda, Raihan sentiasa mendapat sokongan daripada pihak bukan Islam untuk bekerjasama dengan mereka terutama dalam penganjuran konsert.

Anggotanya, Abu Bakar Md Yatim berkata, itu bukan luar biasa atau perkara baharu buat Raihan sejak mereka bergelar artis rakaman pada 1996.

“Sebenarnya rasa kelakar juga. Sejak dulu, peluang kami untuk mengetengahkan perjuangan dakwah menerusi irama nasyid banyak dibantu pihak bukan Islam,” katanya.

Abu Bakar berkata, buktinya orang yang mengambil Raihan sebagai artis rakaman ialah Tan Sri Tony Fernandes ketika beliau bersama Warner Music.

“Selepas itu penerbit Metrowealth Pictures, David Teo mengambil kami berlakon dalam filem Syukur 21. Penganjur yang mula-mula menawarkan Raihan membuat persembahan di luar negara iaitu di Scotland juga dalam kalangan bukan Islam. Jadi, yang sentuh hati mereka siapa? Allah juga,” katanya.

Menurut Abu Bakar, yang pasti Allah yang lintaskan di hati mereka untuk menyokong perjuangan Raihan itu. Katanya, segala maklumat dikongsikan juga adalah fakta dan perjuangan dakwah Raihan melalui muzik memang banyak mendapat sokongan daripada penganjur bukan Islam.

Dalam pada itu, Che Amran Idris berkata, mereka pernah menghantar kertas kerja kepada syarikat-syarikat besar Islam untuk penganjuran konsert di luar negara, tetapi maklum balas yang diterima agak lambat.

Katanya, jika ada pula syarikat Islam yang berminat, pelbagai syarat pula diletakkan dan perlu dipatuhi.

“Namun, untuk semua ketetapan perancangan ini datangnya daripada izin Allah juga,” katanya.

Ditanya mengenai penganjuran konsert artis luar negara di sini, Che Amran berkata, kerajaan perlu memantau siapakah penyanyi yang hendak dibawa masuk itu terlebih dulu supaya tidak berlaku pengaruh budaya dalam kalangan penonton generasi muda tempatan.

“Banyakkan penganjuran konsert yang positif yang menjurus pada kerohanian pun okey kerana sesuai ditonton oleh masyarakat kita,” katanya.

Raihan yang turut dianggotai Amran Ibrahim ditemui pada sidang media sempena penganjuran Konsert Garis Masa Raihan, di sini.

Terdahulu, Raihan mengumumkan mereka bakal menjayakan Konsert Garis Masa Raihan pada 26 November ini di Stadium Malawati, Shah Alam yang mensasarkan kehadiran 7,000 penonton.

Konsert mega istimewa Raihan yang sudah melewati 26 tahun pembabitan dalam industri muzik tanah air itu dianjurkan WNS Marketing & Events Sdn Bhd.

Kali terakhir Raihan mengadakan konsert di tanah air ialah pada 2000.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat