UPKO Jadi Komponen Rasmi PH

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau mengesahkan penyertaan parti itu dalam Pakatan Harapan (PH).

Ahli Parlimen Tuaran itu memaklumkan, keputusan penyertaan parti berpangkalan di Sabah itu dimuktamadkan pada Mesyuarat Majlis Presiden PH, semalam.

Katanya, permohonan menyertai PH sudah dikemukakan minggu lalu selepas perbincangan berterusan mengenai tujuan itu diadakan Majlis Tertinggi UPKO, mulai Oktober tahun lalu.

“Kita gembira dengan keputusan ini kerana perbincangan mengenainya mula dilakukan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

“Ini adalah penyertaan pertama UPKO dalam gabungan politik apabila keluar daripada Barisan Nasional (BN) selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

“Pembangkang kini perlu bersatu-padu supaya boleh menjadi alternatif kepada pilihan sedia ada,” katanya kepada BH hari ini.

UPKO mewakili satu kerusi di Dewan Rakyat dan satu lagi di Dewan Negara yang disandang Timbalan Presidennya, Senator Datuk Ronald P Mojuntin.

PH sebelum ini dianggotai tiga parti komponen iaitu PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) selepas BERSATU meninggalkan gabungan itu pada Februari tahun lalu.

Terdahulu, Ketua Pemuda UPKO, Felix Joseph Saang, dalam kenyataan dilaporkan, berkata semua parti pembangkang wajar mempertimbangkan pelawaan menyertai PH.

“Pembangkang harus terlebih dulu menyelesaikan perbezaan sesama mereka sebelum dapat membuat dasar bersama dan rancangan efektif untuk membawa negara ke depan seperti menangani pandemik serta memulihkan ekonomi,” katanya. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat