Oleh Zihan Zari
SABAK BERNAM – Penganjuran Malaysian Polytechnics Territorial Army Annual Camp (MALPTAAC) Siri 16/2025 di Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) dekat sini, melabuhkan tirainya pada Khamis selepas berlangsung selama 14 hari menyaksikan lebih 700 Askar Wataniah POLYCC mengharungi eksesais ini dengan penuh cabaran, disiplin dan semangat patriotisme.
PSIS menerusi kenyataannya memaklumkan kesemua mereka daripada 17 politeknik seluruh negara berjaya menamatkan program latihan ketenteraan dengan pembangunan sahsiah yang padat dan intensif.
“Ia hasil kerjasama strategik antara Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Bahagian Pasukan Simpanan (BPS), Markas Tentera Darat dan PSIS selaku tuan rumah.
“Penganjuran MALPTAAC bukan sahaja memperkukuh kerjasama strategik antara institusi pendidikan tinggi dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), malah memperluas peluang pembelajaran holistik kepada pelajar dalam konteks ketahanan negara dan keselamatan awam,”kata kenyataan itu.
Menurutnya, aktiviti utama yang dijalankan sepanjang eksesais ini termasuk Ujian Jalan Laju (UJL) sejauh lima kilometer, pandu arah, menembak, multi relay, sukan bola tampar, serta latihan Operasi Kawasan Terbina (OBUA) yang dilaksanakan buat pertama kalinya di kawasan terbiar Rumah Rehat Sabak Bernam.
“Turut dilaksanakan, Program Jiwa Murni (CSR) yang memberi manfaat kepada komuniti setempat.
“Selain itu, aktivit penanaman pokok Bakau di Bagan Nakhoda Omar; penanaman pokok Berembang di Pusat Konservasi Kelip-Kelip Sungai Panjang; gotong-royong di sekitar Pantai Redang, Pantai Batu 23, Pantai Bumi Hijau, Dewan Komuniti Parit Baru, Lorong Belakang Pasar Marjina dan di sekitar PSIS,”katanya.
Upacara penutup MALPTAAC Siri 16/2025 telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Bahagian Pasukan Simpanan, Markas Tentera Darat, Brigedier Jeneral Sani S Omar,
Hadir sama, Pengarah Kanan Kompetensi JPPKK, Ts. Abdul Razak Sabtu; Pengarah PSIS, Haslinda Abd Hamid; Pengarah Kanan (Akademik) JPPKK , Dr. Hj. Mohd Daud Isa; Komander Rejimen 502 AW, Kolonel Hj. Ridzwan Shoib; dan Pengarah-pengarah POLYCC.
Detik penting dalam upacara penutup MALPTAAC, menyaksikan penyampaian hadiah kepada para pemenang keseluruhan bagi pertandingan eksesais ini.
Hasil dari kegigihan latihan, di bawah kelolaan Rejimen 513 AW serta kesepaduan dan ketangkasan pasukan
AW Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) telah muncul juara keseluruhan.
Naib Juara pula dirangkul oleh pasukan AW PSIS (tuan rumah) yang beraksi cemerlang di bawah kelolaan Rejimen 502 AW, manakala tempat ketiga milik Politeknik Seberang Perai (PSP) di bawah kelolaan Rejimen 509 AW.
“Penyerahan bendera MALPTAAC oleh Pengarah PSIS telah diserahkan kepada Pengarah Politeknik Ungku Omar (PUO), Dr. Hjh. Salmi Che Meh, selaku tuan rumah bagi penganjuran MALPTAAC Siri 17/2026.
“Ia menandakan kesinambungan semangat perjuangan dan kolaborasi dalam membina generasi Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang unggul.
Tambah kenyataan itu lagi, penganjuran MALPTAAC kali ini terbukti berjaya mencapai matlamat Dasar TVET Negara 2030 dalam melahirkan pelajar politeknik berkemahiran teknikal, malah memiliki ketahanan mental, fizikal serta jati diri yang tinggi. – SUARA.TV



