Dewan Rakyat Putuskan Tajuddin Digantung Dua Hari

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini memutuskan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman digantung selama dua hari susulan dakwaan beliau mengeluarkan kata kesat dan lucah di Parlimen, minggu lalu.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon, memaklumkan hukuman itu bermula pada Rabu lalu, yang mana beliau sudah mengarahkan Tajuddin keluar Dewan ketika kekecohan berlaku ketika hari kejadian.

Bagaimanapun, tidak jelas bila hari kedua penggantungan dilaksanakan berikutan penyata rasmi Parlimen menunjukkan Tajuddin hadir pada keesokannya, selain Mohd Rashid tidak mengarahkan veteran Umno itu keluar daripada Dewan hari ini.

“Ketika Pasir Salak ungkapkan mengenai wanita DAP (Rabu lalu), saya sudah beri amaran. Saya sudah rujuk hansard (penyata rasmi) dan dapati saya minta beliau keluar daripada Dewan Rakyat ketika itu.

“Mengenai (kata kesat dan lucah) huruf ‘p’, saya sudah cari dalam hansard memang tiada. Saya juga sudah membuat rujukan dengan penasihat undang-undang.

“Apabila saya perintahkan Pasir Salak keluar dan tidak sebut berapa hari, kita rujuk pada Peraturan Mesyuarat 44(2).

“Maka keputusan ialah automatik Pasir Salak dapat (penggantungan) dua hari, termasuk hari kejadian,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Bagaimanapun, keputusan Mohd Rashid mencetuskan kekecohan, khususnya dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang yang mendakwa Tajuddin tidak keluar daripada Dewan pada hari kejadian.

Kekecohan itu yang menyaksikan beberapa wakil rakyat pembangkang, antaranya P Kasthuriraani (PH-Batu Kawan) dan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) bertikam lidah dengan Mohd Rashid, sehingga sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2020 tertangguh hampir 30 minit.

Ketika pertikaman lidah itu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu terpaksa meninggikan suara menegaskan keputusan sudah dibuat, selain memberi dua amaran kepada Kasthuriraani.

“Saya sudah buat ruling (keputusan),” tegasnya dalam nada tinggi.

Namun, keengganan Kasthuriraani duduk memaksa Mohd Rashid mengarahkan Ahli Parlimen Batu Kawan itu keluar daripada Dewan Rakyat.

Rabu lalu, Tajuddin didakwa mengeluarkan kata kesat dan lucah berkait dengan kemaluan wanita ketika Dewan Rakyat kecoh semasa perbahasan RUU Antigangguan Seksual.

Kekecohan itu berlaku selepas Tajuddin menggelar beberapa Ahli Parlimen wanita DAP bersikap tidak senonoh ketika cuba membidas dakwaan Teo Nie Ching (PH-Kulai) yang menyifatkan Ahli Parlimen veteran Umno itu kerap membuat kenyataan berbaur seksis kepada Ahli Parlimen wanita. – HMetro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat