Gilap skil lakonan

- Advertisement -

TEMPOH dua tahun mencipta nama dalam dunia lakonan memberi ruang kepada pelakon dan model, Alicia Amin untuk melihat semula perkembangan kariernya dalam bidang ini.

Pada masa sama, tempoh dua tahun ini menjadi ruang didikan buatnya dan sedikit sebanyak menilai kemampuan lakonan sejak awal kemunculannya dengan apa yang dikecapinya hari ini.

Sesi temu bual bersama bekas peserta Asia’s Next Top Model musim kelima ini membuka cerita mengenai pengalaman serta apa yang ingin dikecapinya dalam cabang seni ini.

“Saya dah memulakan langkah dalam bidang peragaan sejak 10 tahun lalu dan dalam dunia lakonan, saya masih baru. Usia dua tahun karier saya ini sedikit sebanyak memberi saya peluang menimba pelbagai pengalaman dan saya dapat lihat sendiri perkembangan karier dan kemampuan lakonan saya, katanya.

Menurut pelakon berusia 25 tahun itu, dia sering menonton semula lakonannya di awal kemunculan untuk mencari di mana ruang penambahbaikan yang boleh dilakukan.

“Setiap kali menonton semula lakonan saya dalam karya awal karier saya, banyak kekurangan yang saya sendiri akui. Dari situ, saya belajar dan terus belajar bagaimana penambahbaikan dapat dilakukan bagi menghidupkan sesuatu watak yang saya lakonkan.

“Dalam hati saya ada terdetik, kalau dapat berlakon semula watak ini, mesti saya dapat lakukan dengan lebih baik. Namun, itu semua saya jadikan sebagai pembelajaran, katanya.

Bagi memastikan skil lakonannya terus diasah dan digilap, Alicia juga tidak kekok untuk bertanya kepada mereka yang lebih berpengalaman.

“Saya bertuah kerana dikelilingi rakan artis yang berpengalaman dan tidak pernah lokek dalam berkongsi ilmu lakonan dengan saya. Antaranya, Kak Sharifah Sakinah yang tak henti-henti berkongsi nasihat serta tip dalam memastikan lakonan saya ‘sampai’ kepada penonton, katanya.

Namun, pelakon berdarah kacukan Melayu, Jerman dan Cina ini belum berhasrat untuk menyertai kelas lakonan secara formal.

“Kalau kelas lakonan secara formal, mungkin belum ada rezeki untuk saya sertai. Tapi, andai kata saya dapat satu tawaran yang skripnya benar-benar berat dan memerlukan saya untuk mendapatkan bantuan profesional, saya akan sertai kelas, katanya.

Berkongsi mengenai watak, Alicia mengimpikan untuk membawa watak wanita psiko.

“Ia mungkin satu cabaran besar untuk menjadi psiko dan pada masa sama, tak nampak seperti sedang berlakon. Selain itu, saya juga ada simpan impian untuk membawakan watak berat dan bermain dengan emosi, katanya.

INGIN bawa watak wanita psiko.
INGIN bawa watak wanita psiko.

Terbaharu, Alicia kini membintangi siri web The Bridge yang masuk musim kedua di samping barisan pelakon hebat daripada pelbagai negara antaranya Bront Palarae, Ario Bayu, Wan Hanafi Su, Fikry Ibrahim dan Joseph Marko.

“Ini satu lagi peluang berharga buat saya apabila dapat menyertai satu siri web yang saya sendiri tonton. Jadi, bila ditawarkan untuk terbabit sama sebagai Lyanna Mokhtar, saya tak ambil masa lama untuk terima.

“Lyanna adalah pegawai baru yang dapat bekerja dengan idolanya, Serena lakonan Rebecca Lim. Jadi, keterujaannya itu dapat dirasakan, namun pada masa sama dia menyembunyikan rasa teruja itu dan berlagak ‘cool’, katanya.

Ditanya mengenai pengalamannya berlakon dengan pelakon daripada pelbagai negara, Alicia mengakui bahawa keseluruhan pasukan produksi itu umpama keluarga besar.

BERJINAK-jinak dengan dunia DJ.
BERJINAK-jinak dengan dunia DJ.

“Keserasian semua pelakon itu membuatkan saya rasa sangat selesa. Semua seperti keluarga besar dan kami luangkan banyak masa bersama. Walaupun ada pelakon dari negara luar, itu tidak menjadi batasan buat kami untuk saling rasa serasi antara satu sama lain, katanya.

Selain lakonan, Alicia juga kini berjinak-jinak untuk muncul sebagai DJ.

“Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini memberi banyak masa kepada saya untuk meneroka dan belajar benda baru antaranya untuk menjadi DJ.

Kalau ada rezeki, saya nak cuba untuk buat persembahan sebagai DJ di acara besar sekiranya semua acara dapat berlangsung selepas krisis Covid-19 tamat. Buat masa sekarang, saya pernah juga buat persembahan DJ secara langsung di platform media sosial saya, katanya.

HarianMetro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat