Pembinaan LCS Diteruskan, MOF Tubuh SPV Ambil Alih Boustead Naval Shipyard – Mohamad Hasan

- Advertisement -

LANGKAWI – Kementerian Kewangan (MOF) telah menubuhkan syarikat bertujuan khas (SPV) bagi mengambil alih syarikat yang bertanggungjawab terhadap projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) iaitu Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) sebagai anak syarikat kepada MOF.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata bagaimanapun, pelaksanaan projek LCS tetap akan dipantau melalui Jawatankuasa Pemantauan Projek (PMC) yang dipengerusikan bersama oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan (MINDEF).

“Di samping itu, laporan berkala kepada Jemaah Menteri akan disediakan sepertimana syarat-syarat disediakan Ketua Audit Negara dan pelaporan berkala kepada Parlimen melalui Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan dilakukan sekurang-kurangnya tiga bulan sekali supaya kemajuan projek ini dapat dipantau bersama oleh semua pihak.

“Ini perlu untuk kita memastikan supaya hasrat kita untuk meneruskan pembinaan LCS ini dapat dicapai dan berjaya sepertimana yang dikehendaki oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Angkatan Tentera Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Kontrak Tambahan Keenam antara MINDEF dan BNS hari ini.

Sebelum ini, pembinaan kapal LCS terpalit kontroversi apabila PAC mendedahkan tiada seunitpun telah disiapkan walaupun kerajaan telah membelanjakan RM6.083 bilion kepada BNS.

Mohamad juga berkata PAC dialu-alukan untuk memantau kemajuan projek pembinaan kapal berkenaan.

“PAC akan menerima laporan berdasarkan jadual kita, kalau mereka tidak puas hati, mereka boleh tengok dan buat laporan ke Parlimen,” katanya.

Sebelum ini, PAC bercadang mengadakan prosiding baharu berhubung kemajuan pembinaan berkenaan dan prosiding itu akan dimulakan sebaik sahaja pelantikan Ahli-Ahli PAC diluluskan pada Mesyuarat Kedua Sidang Dewan Rakyat yang bermula 22 Mei lepas.

Beliau berkata kerajaan telah bersetuju untuk meneruskan projek Perolehan Kapal Peronda Generasi Kedua (SGPV) Berkeupayaan LCS bagi TLDM.

Mohamad berkata selaras dengan perkembangan itu, MINDEF, TLDM dan BNS akan bersama-sama memberikan tumpuan sepenuhnya bagi memastikan projek LCS berjaya disempurnakan.

“Perolehan ini adalah penting dalam meningkatkan keupayaan armada selaras dengan Pelan Transformasi 15 to 5 TLDM bagi memelihara kedaulatan perairan negara,” katanya. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,208FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat