Ada Dua Kes Lawan DAP, Tapi Sanusi Kata Akmal ‘Budak Catur Zahid’

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO, Akmal Saleh, membidas kenyataan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, yang melabelnya sebagai “budak catur Zahid” dalam ceramah politik baru-baru ini.

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada ucapan Sanusi dalam satu program ceramah yang mempersoalkan pendirian UMNO terhadap DAP, selain mengaitkan Akmal dengan kepimpinan parti tersebut.

Menurut Akmal, beliau bukan sekadar berdepan DAP di pentas ceramah, malah kini sedang berdepan dua kes mahkamah melibatkan pemimpin parti itu. Justeru, beliau mempersoalkan dakwaan Sanusi yang dianggap tidak mencerminkan realiti sebenar.

“‘Budak catur’ yang hari ini bukan setakat lawan DAP di ceramah sahaja, tapi saya ada dua kes mahkamah lawan pemimpin DAP,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Dalam pada itu, Akmal turut menyentuh ceramah di Melaka yang menurutnya sepatutnya memberi fokus kepada cadangan pembangunan negeri, namun bertukar menjadi platform menyerang pihak tertentu.

Beliau juga membangkitkan isu melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia yang didakwa tidak menghadiri sidang dewan walaupun diberikan cuti sakit selama tiga bulan.

“Speaker maklumkan YB Rembia MC tiga bulan sebab kaki retak, tetapi malam sebelumnya boleh hadir ceramah PAS,” katanya.

Tambah beliau, sidang Dewan Undangan Negeri hanya berlangsung empat hari dalam tempoh empat bulan, namun masih terdapat wakil rakyat yang tidak hadir, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai komitmen terhadap tanggungjawab kepada rakyat.

“Yang tanggungjawab kepada rakyat untuk hadir sidang dewan tidak dibuat, tetapi ceramah politik sanggup hadir walaupun dalam keadaan MC,” ujarnya.

Sehubungan itu, Akmal menyerahkan kepada rakyat untuk menilai prestasi wakil rakyat masing-masing menjelang pilihan raya negeri akan datang.

“Biar rakyat Melaka menilai siapa yang benar-benar bekerja untuk rakyat dan siapa yang ponteng tanggungjawab,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan agar perpaduan Melayu tidak dipermainkan atau dipecahbelahkan melalui retorik politik.

“Nasihat saya, Melayu ini perlu disatukan, bukan diperbodohkan dan dikutuk sana sini,” katanya lagi.

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat