KPM Perlu Siasat Segera Guru Galak Perbuatan Rogol – COMWEL

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Majlis Pimpinan Politik Wanita Malaysia (COMWEL) menggesa Kementerian Pendidikan menyiasat dan mengambil tindakan berhubung dakwaan seorang guru lelaki ‘bergurau’ dengan menggalakkan perlakuan rogol.

Pengasas COMWEL, Datuk Zuraida Kamaruddin, berkata perbuatan guru itu ketika mengendalikan kelas subjek Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan (PJPK), tidak boleh dipandang ringan.

Beliau berkata, pihaknya menentang sekeras-kerasnya diskriminasi jantina dan gangguan seksual dalam semua bentuk.

“Semua mangsa tidak kira lelaki atau perempuan yang berdepan kejadian seumpama itu mempunyai hak untuk bersuara dan jangan pendamkan saja.

“COMWEL yakin Kementerian Pendidikan akan mengambil tindakan sewajarnya dalam perkara ini namun kami ingin tegaskan isu rogol tidak sepatutnya dijadikan bahan jenaka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Perbuatan guru lelaki terbabit tular selepas seorang pelajar perempuan memuat naik video menerusi aplikasi Tik Tok mengenai cara pengajaran guru itu yang dikatakan berbaur lucah ketika membincangkan topik kesedaran mengenai gangguan seksual.

Kejadian itu dipercayai berlaku Jumaat lalu di sebuah sekolah di Selangor.

Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, guru sepatutnya memberikan contoh yang baik, peka dan sentiasa berhati-hati apabila berbicara ketika mengajar di dalam kelas.

Selain itu katanya, pendidik juga harus mematuhi batas serta mengelak daripada melakukan perbuatan tidak menyenangkan pelajar.

“Saya berharap pihak sekolah dapat mengingatkan guru dan kaunselor supaya lebih bertanggungjawab dan profesional menjalankan tugas.

“Sebagai ibu bapa, kita juga mempunyai hak untuk bersikap tegas dan perlu bersuara jika ada perkara meragukan,” katanya.

BERITA HARIAN

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat