KUALA LUMPUR – Semua jawatan termasuk dua kepimpinan tertinggi Pas iaitu presiden dan timbalan presiden terbuka untuk dipertandingkan kepada semua ahli tanpa sebarang sekatan.
Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, malah tiada bayaran wajib yang dikenakan atau tiada sebarang arahan melarang pertandingan bagi mana-mana jawatan dan pemilihan dalam Pas yang sepenuhnya bergantung kepada keputusan perwakilan.
“Proses pemilihan dalam Pas terbuka kepada perwakilan. Tiada kempen secara terbuka atau majlis khas untuk meraih sokongan perwakilan.
“Budaya dalam Pas adalah siapa yang terlalu berkempen, dia akan kalah kerana jawatan dalam parti dianggap sebagai amanah Allah yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab,” memetik laporan Utusan Malaysia pada Rabu.
Media semalam melaporkan, beberapa tokoh besar dalam Pas dilihat layak menggantikan kedudukan Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai Presiden parti itu pada muktamar di Kedah tahun ini, selepas lebih dua dekad ‘Ayah Chik’ menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin nombor satu.
Perkara itu ekoran beberapa pemerhati politik melihat Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar merupakan calon sesuai sebagai Presiden atau Timbalan Presiden Pas.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim turut menekankan kepentingan peremajaan dalam politik bagi memastikan kelangsungan dan keberkesanan kepimpinan parti, baik dalam urusan dalaman mahupun ketika berhadapan dengan pihak luar.
Beliau berkata, Pas sudah lama melaksanakan proses ini terutamanya dalam sayap Pemuda, dengan menampilkan lebih ramai tokoh muda sebagai calon di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen.
“Jika kita lihat, ramai muka baharu dalam kalangan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas.
“Daripada segi reformasi kepimpinan pula, Pas bersikap terbuka. Ahli-ahli parti memahami proses pemilihan kepimpinan dan Pas tidak pernah menghalang mana-mana kawasan untuk mencalonkan sesiapa sahaja bagi menerajui parti di semua peringkat,” katanya.
Beliau turut mempertahankan kepimpinan Abdul Hadi yang disifatkan telah membawa kejayaan besar kepada parti di peringkat nasional dan antarabangsa.
Sementara itu, mengenai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Tuan Ibrahim berkata, Perikatan Nasional (PN) ia akan diputuskan selepas mengadakan perbincangan bersama kepimpinan parti komponen dalam masa terdekat.
Katanya, sebarang keputusan berhubung calon dan strategi kempen hanya akan dimuktamadkan selepas kepimpinan tertinggi PN termasuk Pas, Bersatu dan Gerakan mencapai kata sepakat.
“Perbincangan dijangka dilakukan dalam masa terdekat, tetapi bergantung kepada pengumuman rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya.