Stacy tak impikan trofi AJL 36

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sering diingatkan suami agar tidak meletakkan harapan terhadap karya sendiri, membuatkan Stacy terkejut apabila lagu Cinta hasil lirik nukilannya, melangkah ke pentas akhir, Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-36.

Single Cinta yang bakal didendangkan Marsha Milan di pentas berprestij itu menyaksikan Stacy menggunakan nama pena, Bunga Cantik sebagai penulis lirik.

Stacy berkata, suami, Akim Ahmad sentiasa berpesan agar tidak terlalu mengharapkan habuan terhadap setiap hasil seni mereka.

“Sejak dahulu lagi, kami menghasilkan lagu dan tidak meletakkan apa-apa harapan atau mengharap habuan. Lagipun, Akim selalu berpesan, jangan terlalu memikirkan soal pendapatan atau kejayaan pada lagu dihasilkan. Jadi, apabila lagu Cinta diumumkan berjaya ke AJL 36, kami sangat terkejut.

“Namun, kami bersyukur dan ini memberi semangat untuk terus berkarya. Setiap kali menghasilkan lagu, kami tidak pernah meletakkan jangkaan sejauh mana karya itu boleh pergi.

“Kadang-kadang kita rasa lagu itu sudah cukup bagus, tetapi tidak berjaya menambat hati pendengar. Jadi, ini semua berbalik kepada rezeki. Cuma keyakinan itu tetap ada,” katanya kepada BH Online.

Stacy percaya lagu Cinta dihasilkan atas kerjasama semua pihak.

“Masing-masing ada peranan. Kejayaan itu bukan datang daripada kami, malah Marsha yang ‘memberi’ ketika persembahan ‘live’ tempoh hari (Semi Final Muzik Muzik 36),” katanya.

Sementara itu, kejayaan lagu Cinta seakan-akan meniupkan semangat untuk Stacy atau nama Ummu Shaikhah Stacy Anam tampil dengan sebuah single baharu.

Memilih judul Duit sebagai taruhan, Stacy memberitahu, single itu siap dirakamkan September lalu, namun ditangguhkan kerana sibuk dengan projek lagu penyanyi lain.

 

Stacy dan Akim menghasilkan lagu dan tidak meletakkan apa-apa harapan atau mengharap habuan terhadap karya ciptaan mereka. - Foto IG Stacy
Stacy dan Akim menghasilkan lagu dan tidak meletakkan apa-apa harapan atau mengharap habuan terhadap karya ciptaan mereka. – Foto IG Stacy

 

Kali terakhir penyanyi 31 tahun itu tampil dengan single adalah tahun lalu, menerusi lagu Peluk.

“Apabila melihat lagu Marsha berjaya ke AJL 36, saya jadi lebih semangat untuk menghasilkan produk diri sendiri,” katanya.

Bercerita mengenai lagu Duit, Stacy berkata, single berkenaan berkisar pengalaman dirinya.

“Siapa kenal dan tahu latar belakang hidup dan perwatakan saya, pasti sedar lagu itu ada kaitan. Lagu itu diilhamkan daripada kisah hidup saya lantas tercetus idea untuk menulis liriknya.

“Saya meletakkan pesanan yang sering didengari ketika kecil. Bekalan ilmu dan semangat dalam menempuh kehidupan lebih kepada ajaran orang tua.

“Pada masa sama, duit boleh menukar mata seseorang daripada tidak suka kepada suka,” katanya yang masih menggunakan khidmat Akim atau nama pena, Hang Nadim dan Koh sebagai komposer serta menghasilkan sendiri lirik Duit.

Stacy berkata, single Duit berentak ‘rock & roll pop’.

“Pada masa sama, diselitkan elemen tarian tetapi tidak berat. Single ini lebih kepada ‘rock dance’ kerana lagunya rancak. Dengan pembabitan Akim dalam pembikinannya, single Duit menjadi lebih ‘rock & roll. Sentuhan Koh juga memberikan elemen segar.

“Saya tidak sabar mendengar maklum balas peminat. Saya selesa dengan lagu itu dan karakter lagu itu kena dengan saya,” katanya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat