Anuar nafi ganti Ernie di pentas AJL 36

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penyanyi bervokal hebat, Anuar Zain menafikan menggantikan tempat anak sepupunya iaitu penyanyi, Ernie Zakri yang sedang sarat mengandung untuk menyanyikan lagu Boneka pada pentas akhir Anugerah Juara Lagu Ke-36 (AJL 36).

Nama penyanyi lagu Sedetik Lebih dan Andainya Takdir itu disebut-sebut netizen antara yang layak menggalas tanggungjawab berkenaan.

Meskipun mengakui tertarik dengan lagu ciptaan Omar K, Firdaus Rahmat, Iqie Hugh itu, namun, Anuar menafikan, dia bakal menggantikan tempat Ernie.

“Sejujurnya, saya sendiri tidak tahu siapakah bakal terpilih kerana kami tidak pernah berbincang soal kerja jika berjumpa. Tetapi, apa yang pasti bukan saya menyanyikan lagu Boneka.

“Lagu Boneka sangat menarik. Walaupun nampak mudah, tetapi sangat sukar dinyanyikan. Saya harap Ernie dapat menemui pengganti yang sesuai menyanyikan lagu ini,” katanya kepada BH Online.

Anuar atau nama sebenarnya, Shahrul Anuar Zain turut meluahkan keterujaan menantikan kelahiran bayi sulung pasangan penyanyi, Syamel dan Ernie yang juga menjadi legasi ketiga dalam salasilah keluarga mereka.

Berkongsi kegembiraannya, Anuar yang berpangkat bapa sepupu kepada Ernie memberitahu, dia juga tidak sabar untuk melihat wajah comel cucu sepupunya itu yang dijangka lahir pada Februari ini.

“Saya teruja dan tidak sabar menantikan kelahiran cucu sepupu. Macam manalah wajahnya nanti?

“Adakah wajahnya nanti seiras Ernie ataupun Syamel? Ataupun campuran kedua-duanya. Kita tunggu sajalah nanti,” katanya kepada BH Online.

Anuar yang juga dipanggil Pak Ngah oleh penyanyi lagu Gundah itu mengakui, hubungannya dengan ibu Ernie cukup rapat sejak kecil memandangkan mereka mempunyai pertalian darah.

 

Anuar tampil dalam Majlis Makan Malam Amal Anuar Zain - Karena Aku Cinta bertujuan menyalurkan bantuan kepada keluarga petugas barisan hadapan yang terkorban ketika menjalankan tugas sepanjang pandemik COVID-19. - NSTP/Rohanis Shukri
Anuar tampil dalam Majlis Makan Malam Amal Anuar Zain – Karena Aku Cinta bertujuan menyalurkan bantuan kepada keluarga petugas barisan hadapan yang terkorban ketika menjalankan tugas sepanjang pandemik COVID-19. – NSTP/Rohanis Shukri

 

“Ibu Ernie adalah sepupu saya dan kami memang rapat sejak kecil. Saya menangis apabila ibu Ernie mahu berkahwin kerana pastinya hubungan kami tidak serapat selepas bergelar isteri.

“Dengan Ernie kurang rapat kerana saya sibuk bekerja ketika Ernie sedang membesar.

“Namun, kami mulai rapat sejak tujuh tahun lalu. Saya bersyukur Ernie dikurniakan suami sangat baik seperti Syamel,” katanya ketika ditemui pada sidang media Majlis Makan Malam Amal Anuar Zain – Karena Aku Cinta, semalam.

Bakal diadakan pada 5 Mac 2022 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Ipoh (IICC), majlis amal itu bertujuan murni untuk menghargai dan menyalurkan bantuan kepada keluarga petugas barisan hadapan yang terkorban ketika menjalankan tugas sepanjang pandemik COVID-19 serta menghargai penggiat seni yang terkesan.

Dianjurkan oleh Bond Holdings Sdn Bhd, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Sycal Ventures Sdn Bhd, tiket berharga antara RM230 hingga RM380 boleh menghubungi talian 010-36088001 ataupun kaunter tiket, Bond Suites Sales Galleri di IICC pada Februari ini.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat