KANGAR, — Walaupun PAS Pusat memaklumkan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)nya telah terhenti keahlian dan menuntut supaya Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan, Istana Perlis dilihat perlu mempertimbangkan hakikat bahawa Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, didakwa telah kehilangan sokongan majoriti lebih awal, sebelum tindakan disiplin parti itu diumumkan.
Sebelum ini dilaporkan bahawa lapan ADUN Perikatan Nasional (PN), terdiri daripada lima ADUN Bersatu dan tiga ADUN PAS, telah menghantar akuan bersumpah bagi menarik sokongan terhadap Mohd Shukri Ramli.
Penarikan sokongan tersebut dikatakan telah disahkan oleh penasihat undang-undang negeri serta dimaklumkan kepada Istana Perlis beberapa hari lebih awal, sekali gus menjadikan isu kehilangan majoriti itu berlaku sebelum sebarang keputusan berkaitan pengosongan kerusi atau PRK dibangkitkan.
Perkembangan berkenaan meletakkan persoalan besar terhadap kedudukan sebenar Menteri Besar dari sudut keabsahan sokongan majoriti Dewan Undangan Negeri, dengan implikasi perlembagaan yang melangkaui isu keahlian parti semata-mata.
Dalam konteks ini, pemerhati perlembagaan berpandangan bahawa Menteri Besar Perlis tidak lagi mempunyai mandat untuk menasihati Raja Perlis kecuali sama ada menghadap bagi meletakkan jawatan atau menasihati pembubaran Dewan Undangan Negeri, bagi membolehkan pelantikan seorang Menteri Besar baharu yang diyakini mempunyai sokongan majoriti.
Sementara itu, Sinar Harian melaporkan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang bersidang pada Rabu, 24 Disember 2025, telah membuat ketetapan berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan PAS (Pindaan 2025) bahawa tiga ADUN PAS — YB Saad Seman (ADUN Chuping), YB Fakhrul Anwar Ismail (ADUN Bintong) dan YB Mohd Ridzuan Hashim (ADUN Guar Sanji) — terhenti serta-merta keahlian mereka sebagai ahli PAS.
Langkah tersebut dilihat sebagai berisiko tinggi dan berpotensi meletakkan PAS Pusat berdepan secara langsung dengan Istana Perlis, memandangkan isu teras yang dipertikaikan sebelum ini bukan sekadar keahlian parti, tetapi soal hilang kepercayaan dan sokongan majoriti terhadap Menteri Besar.
Umum mengetahui bahawa sebelum ini, pertembungan institusi telah berlaku antara Istana Perlis dan Menteri Besar berhubung beberapa isu pentadbiran dan hubungan rasmi kerajaan negeri. Keadaan itu dilaporkan semakin meruncing apabila tersebarnya rakaman audio yang didakwa memperdengarkan kritikan Menteri Besar terhadap Istana, selain fakta bahawa beliau tidak menerima sebarang penganugerahan darjah kebesaran bergelar Datuk.
Dalam konteks perlembagaan, segala perkembangan ini kini berada di bawah pertimbangan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri. Kesemua perkembangan tersebut telah diketahui secara meluas oleh rakyat Perlis dan pemerhati politik tanah air, sekali gus menjadikan pembubaran Dewan Undangan Negeri antara senario yang semakin diperkatakan.



