KUALA LUMPUR – Kerajaan Madani yang berdegar-degar kononnya menangani rasuah didakwa tidak holistik memeranginya.
Hal ini kerana ia tidak bersifat menyeluruh daripada akar umbi dan hanya terhadap penerima rasuah yang terpilih sahaja, kata Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang.
“Dalam aspek mengatasi rasuah yang hangat diperkatakan, bolehlah dikatakan tindakan Kerajaan Reformasi Pakatan Harapan Madani yang berdegar-degar menangani rasuah tidak holistik memeranginya, kerana tidak bersifat menyeluruh daripada akar umbi dan hanya terhadap penerima rasuah yang terpilih sahaja.
“Di samping itu, mereka membebaskan pemberi rasuah yang memberikan kerjasama dan para brokernya yang berkeliaran, tetapi bertindak terhadap segelintir penerima rasuah.
“Tindakan tersebut laksana menghapuskan penyakit wabak denggi dengan bertindak terhadap mangsa jangkitan, namun membiarkan nyamuk Aedes membiak dan membiarkan kalangan pengotor yang menjadi angkara tempat pembiakan nyamuk,” kata beliau dalam catatan Minda Presiden Pas pada Isnin.
Menurut Hadi, rasuah merupakan salah satu penyakit madani jahiliah sepanjang zaman, bukan Malaysia sahaja satu-satunya kononnya kerajaan madani seperti yang diperbodohkan, kerana madani ialah tabii manusia mengikut fitrahnya.
“Lebih diragukan, parti dan kerajaan yang dalamannya berpenyakit rasuah dalam semua lapisan pemilihannya, sehingga usaha mendapat kuasa juga membawa penyakit ini dalam semua lapisan sehingga rakyat.
“Hal ini laksana menugaskan pencuri menangkap pencuri yang diberikan lesen dan mendapat bantuan pencuri yang lain pula.
“Termasuk dalam takrif rasuah adalah jenayah dan dosa besar, yang dihuraikan dengan maksud yang lebih luas oleh hadis yang menunjukkan bahawa semua orang yang berkaitan dengan rasuah dilaknat Allah, yang bermaksud tidak mendapat rahmat Allah dalam kehidupan dunia dan neraka pada Hari Akhirat jika tidak bertaubat nasuha dan tidak dihukum di dunia dengan hukum Allah.
“Adapun hukum syariat Islam berkenaan rasuah termasuk dalam hukuman jenayah takzir yang ditetapkan hukumannya oleh pemerintah mengikut tahap dan kadar kesalahannya.
“Sedangkan holistik diambil daripada kata ‘whole’ (menyeluruh) atau daripada pandangan ‘holism’ (daripada bahasa Yunani, holos, yang bererti semua, keseluruhan, total) digunakan dalam segala aspek.
“Ibn Khaldun menegaskan bahawa fitrah semua manusia itu bermadani. Hanya dua jenis madani, iaitu antara Islam atau jahiliah. Malaysia juga bersifat madani sejak zaman dahulu kala didiami manusia, zaman Islam, zaman penjajah, dan zaman selepas kemerdekaan yang mewarisi madani penjajah,” katanya.
Menurut Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu lagi syariat Islam berbeza dengan undang-undang ciptaan manusia kerana ada aspek akidah keimanan kepada yang ghaib yang mengawal hati dan fikiran, janji Allah yang memberikan pahala kepada sesiapa yang meninggalkan atau menolak perkara haram, serta berdosa besar jika tidak dihukum atau bertaubat nasuha dengan meninggalkannya dan berazam tidak melakukannya lagi serta menyesal kerana melakukannya.
“Tegasnya, orang yang terlepas daripada hukuman dunia tetap percaya akan menerima balasan selepas meninggal dunia dan sedar bahawa dirinya tidak selamat di dunia dan akhirat.
“Hasil harta yang haram itu menjadi darah daging diri dan keluarganya, termasuk yang digunakan dalam semua urusan kehidupannya dan juga untuk ibadatnya. Firman Allah SWT iaitu syariat Allah meletakkan semua yang berkaitan pelaku kesalahannya berada di bawah hukuman-Nya tanpa terpilih kerana hubungan keluarga, pangkat, mahupun taraf kedudukannya.
“Syariat berkonsepkan holistik terhadap kesemua mereka yang berkaitan dengan kesalahan; daripada pemberi, penerima, sehingga perantaranya. Tidak ada sesiapa yang boleh dikecualikan daripada hukuman dan dosa, kerana konsep semua orang ialah hamba kepada Allah, sehingga tiada sesiapa yang mengatasi undang-undang Allah.
“Justeru, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) tetap memperkenalkan konsep pemerintahan Islam di mana-mana negeri yang diperintah walaupun banyak halangan dilakukan,” tegas Hadi.