KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bertegas menyangkal dakwaan kononnya kerajaan menggunakan dana syarikat swasta dalam urusan perjalanan lawatan kerja rasmi ke luar negara baru-baru ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan sebaliknya menyatakan kerajaan dan syarikat-syarikat swasta yang mengikuti lawatan kerja rasmi itu berkongsi kos perjalanan.
“Saya tidak guna dana syarikat swasta. Kerajaan guna penerbangan MAS untuk lawatan empat negara dengan kos RM1.6 juta. Ini guna wang Kerajaan sepenuhnya.
“Baki tempat duduk ditawarkan kepada syarikat swasta yang sememangnya akan pergi ke negara-negara tersebut untuk tujuan pelaburan atau usaha sama. Syarikat ini bayar kos masing-masing berjumlah RM4.5 juta.
“Jika guna jet Eksekutif Kerajaan, kos perlu ditanggung kerajaan adalah RM2.5 juta untuk empat negara. Namun dengan perkongsian ini, kos untuk kerajaan hanya RM1.6 juta.
“Saya ulang, kerajaan tidak guna dana syarikat swasta. Tiada perselisihan kepentingan. Usah terperangkap dalam fitnah zaman edan,” tegas Perdana Menteri dalam kenyataan pada Isnin
Anwar berkata demikian sebagai reaksi kepada dakwaan Ketua Pegawai Eksekutif C4 Center, Pushpan Murugiah yang menyatakan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan dana syarikat swasta yang mengikuti urusannya ke luar negara akan menyebabkan kerajaan menerima tekanan daripada syarikat terbabit yang akan memohon balasan.
Pushpan berkata, walaupun pertimbangan kewangan mungkin menjadi faktor utama keputusan itu, namun kerajaan juga seharusnya mengambil kira kemungkinan terjadinya perselisihan antara kepentingan kerajaan dan swasta.
“Pada masa akan datang, kerajaan mungkin akan menerima tekanan daripada syarikat tersebut agar memberikan quid pro quo sebagai balasan kepada pembiayaan yang mereka berikan itu,” katanya.
Pushpan berkata, kerajaan mestilah sentiasa berwaspada dalam memastikan tidak terhutang budi kepada pihak-pihak korporat supaya kepentingan awam dapat diutamakan.
“Selain itu, undang-undang pembiayaan politik mesti digubal dan dilaksanakan demi mengawal penyaluran kewangan dalam sistem politik negara kita,” jelasnya.
Media sebelum ini melaporkan kira-kira 70 hingga 80 peratus kos melibatkan perjalanan dan lawatan rasmi Anwar ke lima negara ditanggung oleh syarikat swasta yang mengikuti urusan itu.
Jurucakap Kerajaan, Fahmi Fadzil menjelaskan, kerajaan hanya menanggung RM1.662 juta daripada RM6.162 juta kos penerbangan khas Perdana Menteri ke lima negara.
Menurutnya, kos yang ditanggung kerajaan itu adalah bersamaan 27 peratus manakala bakinya 73 peratus atau RM4.5 juta dibayar oleh delegasi perniagaan yang menyertai lawatan berkenaan.