Ibu Bapa Di Afghanistan Guna Ubat Penenang Elak Anak Menangis Kelaparan

- Advertisement -

KABUL – Krisis kebuluran yang semakin meruncing di Afghanistan menyebabkan segelintir ibu bapa sanggup memberikan anak-anak makan ubat penenang yang boleh mencetuskan rasa mengantuk bagi membolehkan mereka ‘melupakan seketika rasa lapar’.

Seorang bapa, Abdul Wahab berkata, anaknya sering menangis kerana lapar menyebabkan mereka tidak boleh tidur.

“Kami tiada makanan untuk diberikan kepada mereka, jadi kami pergi ke farmasi untuk dapatkan ubatan yang boleh buatkan mereka mengantuk dan tidur.

“Jadi, mereka akan tidur dan lupakan seketika rasa lapar,” kata seorang bapa, Abdul Wahab.

Abdul Wahab menceritakan, bukan dia sahaja yang memberikan ubatan kepada anak-anak supaya mereka tidur, malah ramai lagi ibu bapa mengambil tindakan yang sama.

Antara ubatan yang diberikan kepada golongan kanak-kanak adalah alprazolam iaitu ubat yang sering diberikan kepada individu dengan masalah kemurungan.

Seorang lagi penduduk, Ghulam Hazrat berkata, dia turut memberikan ubat tersebut kepada anak bongsunya yang berusia setahun.

Selain alprazolam, penduduk juga memberikan ubat escitalopram dan sertraline kepada anak masing-masing, dengan kesemua ubatan itu turut digunakan untuk merawat kemurungan.

Menurut pakar perubatan, pemberian ubatan tersebut terhadap kanak-kanak yang tidak cukup nutrisi boleh menyebabkan hati mereka rosak, selain menyebabkan keletihan akut dan gangguan tidur serius.

Di kebanyakan farmasi di negara ini, kesemua ubatan berkenaan boleh dibeli dengan mudah dan pada harga lebih murah berbanding makanan.

Kebanyakan keluarga terpaksa mencatu bekalan makanan atau tidak berpeluang menjamah sebarang roti sekiranya tiada duit untuk dibelanjakan.

Terdahulu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan krisis yang berlaku di Afghanistan ketika ini seperti ‘malapetaka’.

Golongan lelaki di Afghanistan kebanyakannya bekerja sebagai buruh kasar dengan bayaran 100 Afghanis atau AS$1 (RM4.50) sehari.

Ada juga penduduk yang sanggup mengambil langkah lebih ekstrem bagi memastikan keluarga mereka tidak berlapar, termasuk menjual buah pinggang dalam pasaran gelap.

Seorang pemuda yang dikenali sebagai Ammar memberitahu, dia menjual satu daripada buah pinggangnya tiga bulan lalu bagi mengisi perut keluarganya, selain membayar hutang.

“Saya tidak ada pilihan lain, saya perlukan duit untuk beli makanan, bukannya bermewah dan jual buah pinggang adalah jalan terbaik,” katanya.

Ammar menerima bayaran sebanyak AS$3,100 (RM14,069) selepas menjual buah pinggangnya. – Agensi

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,478FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat