Seminar Industri Tuna Labuan 2025 pacu transformasi industri tuna negara

Oleh Zihan Zari

LABUAN – Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) memperteguh agenda pembangunan industri tuna negara menerusi penganjuran Seminar Industri Tuna Labuan (Labuan Tuna Conference) 2025.

Ia menjadi platform penting bagi menyelaras hala tuju, memperluas kerjasama strategik dan memacu inovasi dalam industri tuna ke arah pengurusan sumber yang mampan serta berdaya saing di peringkat global.

Seminar ini merupakan wadah penting bagi memperkukuh jaringan antara kerajaan, industri dan akademia dalam memantapkan
rantaian nilai tuna negara, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup.

Arthur berkata, industri tuna negara turut menunjukkan kemajuan pesat, dengan jumlah pendaratan bagi tuna oceanic, neritic dan tuna-like species pada tahun 2024 direkodkan sebanyak 88,725 tan metrik bernilai kira-kira RM890 juta.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Seminar Industri Tuna Labuan 2025 di Dewan Konvensyen, Kompleks Ujana Kewangan, dekat sini baru-baru ini.

Menurut Arthur, sebanyak lima kertas kerja utama dibentangkan, meliputi aspek pembangunan hab strategik tuna, pengurusan sumber bernilai tinggi, peningkatan kualiti hasil tangkapan, peluang pelaburan dalam pemprosesan makanan serta kolaborasi antara kerajaan dan sektor industri.

Beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM220,000 di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) untuk melaksanakan program peningkatan kualiti pasca tuai dan nilai tambah sektor tuna di Labuan.

Ia termasuk penyediaan peralatan pembangunan payao tuna dan kemudahan pemprosesan produk perikanan bagi meningkatkan keupayaan usahawan tempatan menghasilkan produk bernilai tinggi.

Beliau berkata, Sabah kekal sebagai penyumbang utama dengan pendaratan dianggarkan sekitar 22,995 tan metrik bernilai hampir RM177 juta, manakala Labuan pula merekodkan pendaratan sekitar 1,296 tan metrik bernilai hampir RM12 juta.

Katanya, kedudukan strategik kedua-dua wilayah di Laut Sulu dan Laut China Selatan menjadikannya pemangkin utama kepada aspirasi Malaysia sebagai hab perikanan tuna serantau.

Beliau menyeru semua pemain industri agar terus memperluas inovasi produk dan mematuhi piawaian antarabangsa seperti HALAL, GMP dan HACCP bagi meningkatkan daya saing produk tuna Malaysia di pasaran global, selaras dengan agenda Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0) dan matlamat keterjaminan makanan negara.

Terdahulu, Ketua Pengarah Perikanan , Dato’ Hj. Adnan Hussain berkata, seminar ini menjadi landasan penting bagi membina sinergi kukuh antara dasar dan pelaksanaan dalam usaha mempercepat transformasi industri tuna negara.

Jelasnya, hala tuju pembangunan industri tuna kini digerakkan melalui Pelan Strategik Pembangunan Industri Tuna 2021–2030, yang berfungsi sebagai panduan utama ke arah pengurusan dan pembangunan sektor tuna negara secara mampan dan berdaya saing.

“Pelan ini memberi tumpuan kepada enam teras utama, iaitu pematuhan piawaian domestik dan antarabangsa; pembangunan spesifikasi vesel dan kuota tangkapan lestari; penggunaan teknologi moden dalam perikanan tuna; pengukuhan pengurusan dan integriti industri.

“Selain itu, peningkatan kapasiti penguatkuasaan; serta penambahbaikan kualiti pasca tuai dan pengeluaran produk nilai tambah yang mampu menembusi pasaran eksport, ”jelasnya lagi.

Ujarnya, industri tuna bukan sekadar aktiviti penangkapan, tetapi merangkumi keseluruhan rantaian nilai daripada pendaratan, penyelidikan, logistik, pemprosesan hingga pemasaran produk.

“Dalam konteks ini, Labuan dan Sabah berpotensi besar menjadi pemacu utama kepada pembentukan Hab Tuna Nasional melalui pelaburan strategik, pembangunan fasiliti moden serta kolaborasi rentas agensi dan sektor swasta, ”ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Adnan menyeru semua peserta seminar agar terus menyumbang idea dan pandangan bagi membentuk ekosistem industri tuna negara yang mampan, inovatif dan berimpak tinggi, seiring dengan komitmen kerajaan dalam memastikan “Food Security is a Shared Responsibility.”

Dalam pada itu, beberapa kertas pembentangan telah dibentangkan oleh panel-panel yang pakar bagi mengenal pasti pendekatan yang terbaik untuk menjadikan WP Labuan sebagai hub baharu untuk industri tuna.

Antaranya, Pensyarah Fakulti Sains Perikanan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Haspinor Teh (Moderator); Ketua Pengarah Perikanan, Dato’Hj. Adnan Hussain; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Mohd Sukuran Taib; Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan & Pembangunan Wilayah DOF, Rendy Fazhrin Sairin; dan Pengarah Perikanan Wilayah Persekutuan Labuan, Sufian Ahmad.

Selain itu, Pensyarah Kanan UMT, Dr. Madzli Harun (Agenda Perikanan Nasional : Labuan Sebagai Hub Strategik Tuna Serantau); Pengarah Institut Penyelidikan Perikanan Bintawa Sarawak, Jamil Musel (Eksplotasi Komersial Sumber Tuna Oseanik Di Laut China Selatan); Pengarah Urusan Labuan Food Industries Sdn. Bhd, Lee Wee Sheng (Meneroka Pontensi Industri Tuna Di Labuan); Ketua Seksyen Pembangunan Perikanan Laut Lembaga Kemajuan Perikanan Malaysia (LKIM), Mohamad Firdaus Musa (Kepentingan Menjaga Kualiti Ikan Tuna); dan Timbalan Pengarah Bahagian Teknologi Makanan & Industri Berasaskan Sumber Malaysian Investment Development Authority, Irrnanie Mohd Aripin (Peluang Pelaburan Dalam Industri Pemprosesan Makanan).

Seminar anjuran DOF dengan kerjasama Perbadanan Labuan yang berlangsung selama dua hari ini telah menghimpunkan 140 peserta terdiri daripada wakil agensi kerajaan, pemain industri, penyelidik dan komuniti perikanan tempatan. – SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat