14 Kes Jual PerantiSiwa Dikesan, Tindakan Tegas Akan Dikenakan – Annuar

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, berkata tindakan tegas akan dikenakan terhadap individu yang menjual semula PerantiSiswa diperoleh mereka menerusi Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia.

Beliau berkata, setakat ini, terdapat 14 kes penjualan semula PerantiSiswa dikesan di seluruh negara dan pemantauan terhadap perkara itu sedang dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Kita akui memang ada kes penjualan semula PerantiSiswa, jadi ada tindakan tertentu akan diambil terhadap mereka, contohnya kita paparkan nama secara terbuka untuk pengetahuan umum di portal perantisiswa atau maklumkan kepada pihak universiti,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi di sini, hari ini.

Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia adalah inisiatif Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM), bertujuan membantu proses pembelajaran mahasiswa institut pengajian tinggi (IPT) yang berada dalam kelompok B40.

Semalam, tular di media sosial mengenai tindakan mahasiswa menjual PerantiSiswa jenis Samsung Galaxy Tab A8 LTE bersama beberapa aksesori diperoleh, dengan harga lebih murah daripada harga pasaran.

Annuar berkata, tindakan menjual semula peranti itu satu tindakan tidak bertanggungjawab dan kerajaan memandang serius perkara itu.

Beliau berkata, peranti yang diedarkan mempunyai beberapa aplikasi tertentu yang mampu mengesan keberadaan peranti itu sama ada di universiti atau lokasi lain.

“Peranti ini ada keupayaan untuk buat ‘tracking’ siapa pemilik yang menjual dan ada beberapa peranti sudah disekat penggunaannya,” katanya.

Annuar berkata, PerantiSiswa yang diagihkan adalah amanah dan ia bukan untuk dijual.

Beliau berkata, tindakan menjual peranti itu sama seperti melanggar ‘akujanji’ untuk menggunakan peranti berkenaan bagi kegunaan sendiri seperti ditandatangani mereka ketika menerima peranti itu.

“Perbuatan ini diharap dihentikan segera… saya terkilan dan dukacita kerana penerima PerantiSiswa menjualnya secara terbuka secara dalam talian. Saya fikir ia tindakan tidak wajar,” katanya.

Annuar berkata, K-KOM bersedia mengkaji pelaksanaan ‘buy back policy’ bagi penerima PerantiSiswa untuk menjual peranti mereka, sekiranya mereka tidak mahu menggunakan peranti itu lagi.

“Mereka yang tidak mahu guna, mungkin ada kaedah ‘buy back’ yang sesuai selepas setahun… saya akan minta kaji kaedah berbanding jual peranti itu dengan harga murah… ia tindakan tidak baik,” katanya.

Sementara itu, Annuar berkata, pihaknya komited terus mengagihkan peranti menerusi Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia kepada pemohon yang diluluskan dengan segera, walaupun wujud kes penjualan semula peranti itu oleh segelintir pihak.

“Saya letakkan sasaran untuk agihkan PerantiSiswa yang diluluskan sebelum 31 November ini. Pengedaran tetap disegerakan dan akan terus berjalan kerana kes penjualan peranti ini adalah kecil,” katanya.

Setakat 18 Oktober lalu, sebanyak 474,311 permohonan untuk PerantiSiswa Keluarga Malaysia diterima membabitkan 95,882 bagi fasa pertama dan 378,429 untuk fasa kedua. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat