Ini Bukan Kali Pertama Anwar Dakwa Ada Majoriti, Kata Mahathir

- Advertisement -

CYBERJAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata ini bukan kali pertama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa memiliki majoriti sokongan Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan.

Memetik laporan The Edge Singapura, Dr Mahathir berkata, Anwar juga pernah membuat dakwaan serupa merujuk kepada gerakan lompat 16 September 2008, selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) tahun itu.

“Ini bukan pertama kali beliau (Anwar) mendakwa kononnya mendapat sokongan majoriti dan membuat pengumuman penting.

“Situasi sama pernah berlaku pada September 2008.

“Kita tunggu dan lihat, apakah ini satu lagi episod membuat tuntutan yang tidak dapat dibuktikan,” katanya.

Dalam sidang media tengahari tadi, Anwar mendakwa beliau memiliki sokongan majoriti Ahli Parlimen yang meyakinkan dan kukuh, namun tidak menjelaskan berapa jumlahnya.

Menurut Anwar, adalah lebih wajar beliau menyerahkan angka sokongan yang dimilikinya itu kepada Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu.

“Jumlahnya (sokongan) kukuh dan menyakinkan, jauh daripada majoriti kecil, bukan, empat, lima atau enam (kerusi) tetapi majoriti

“Ini bukan semalaman. Kami sudah membuat perancangan ini selama berbulan-bulan. Sekarang kami telah memperoleh majoriti, kami membuat pengumuman,” katanya.

Sementara itu, Presiden Amanah, Mohamad Sabu mendakwa parti itu langsung tidak mengetahui sebarang maklumat berhubung rancangan Anwar untuk menubuhkan kerajaan baru.

“Kami pun tidak tahu apa-apa. Nantilah (kenyataan susulan,” katanya.

Manakala Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pula mengesahkan semua 42 Ahli Parlimen parti itu akan menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kami mengambil maklum pengumuman tadi bahawa beliau mempunyai sokongan ahli Parlimen yang mencukupi untuk membentuk kerajaan persekutuan.

“Selaras dengan keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan, 42 ahli Parlimen DAP akan memberikan sokongan kepada Anwar sebagai perdana menteri sekiranya beliau cukup bilangan untuk membentuk kerajaan,” ujarnya.

Lim Guan Eng sebelum ini dilaporkan menyokong pencalonan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal sebagai Perdana Menteri jika Anwar gagal memperolehi sokongan mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Dalam perkembangan lain, Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau telah dimaklumkan terdapat Ahli Parlimen BN dan UMNO yang secara peribadi menyokong Anwar.

“Saya dimaklumkan ramai Ahli-Ahli Parlimen UMNO dan BN yang telah menyatakan sokongan. Saya menghormati pendirian Ahli-Ahli Parlimen berkenaan

“UMNO dan BN tidak dapat menghalang Ahli-Ahli Parlimen yang mengambil keputusan untuk menyokong YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang berhasrat untuk mengadap KDYMM Yang DiPertuan Agong bagi menyatakan hasrat beliau sebagaimana dimaklumi,” ujarnya. – SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat