Kuala Lumpur: Selepas dikecam kerana menari gelek, Baby Shima yang membuat keputusan tidak menarik gelek dalam persembahannya, baru-baru ini turut menerima kecaman.
Shima berkata, dalam persembahannya di Perak, Sabtu lalu, dia membuat keputusan untuk tidak bergelek ketika menyanyi lagu Pura-Pura Bujang selepas teruk dikecam netizen sebelum ini berhubung isu tarian gelek melampau.
“Memang saya menyanyi dalam keadaan berdiri tegak tanpa gelek.Saya ambil positif teguran semua pihak dan ambil pendekatan menyanyi saja tanpa gelek. Namun, ia buatkan peminat kecewa dan ada yang marah saya di belakang pentas. Kesudahannya saya tetap kena marah dan dikecam juga. Apa salah saya dan apa yang peminat mahukan sebenarnya?” katanya kepada Harian Metro.
Menerusi video yang tular di media sosial, Shima sempat bergurau apabila bertanyakan peminat melihat situasi ini.
“Kenapa pelik?” tanyanya kepada penonton.
Terdahulu, sebuah portal hiburan memaparkan luahan peminat yang kecewa dengan persembahan Shima yang dianggap kurang menyengat.
Melalui perkongsian @Boy_Gtk di TikTok, kehadirannya ke festival ini adalah untuk melihat Baby Shima menari gelek namun hasratnya tidak kesampaian.
Di ruangan komen, kebanyakan warganet bersimpati dengan Baby Shima yang sering menerima kecaman walaupun tidak berbuat apa-apa perkara menjelikkan.
“Kesian juga kat dia..buat apa pun kena kecam. Gelek kena kecam tak gelek kena kecam. Dah kalau dia gelek kena kondem pula,” komen netizen lagi.
Harian Metro