Tak diskriminasi pembangkang langkah terbaik penyuburan politik aras tinggi – Sultan Nazrin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Penyuburan budaya politik aras tinggi dengan mengumumkan peruntukan saksama kepada blok kerajaan dan pembangkang yang diamalkan kerajaan negeri Perak mendapat pujian Sultannya, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Baginda mahu setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Perak mempamerkan semangat politik matang beraras tinggi dan saling bekerjasama, saling menghormati serta membantu usaha yang dilaksanakan untuk kepentingan negeri dan rakyat.

Hal demikian, Sultan Nazrin merujuk titah baginda semasa berlangsungnya Istiadat Pelantikan Ahli Dewan Negeri Kota Tampan, Datuk Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar pada Disember tahun lalu.

Sultan Perak bertitah, baginda menzahirkan titah agar kerajaan merintis jalan meminimumkan perselisihan politik.

“Menyahut titah berkenaan, Menteri Besar ketika membentangkan Belanjawan 2021 telah mengumumkan peruntukan saksama untuk kesemua 59 orang ahli Dewan Negeri tanpa sebarang diskriminasi, sama ada ahli Dewan dari parti pembangkang atau parti pemerintah.

“Langkah yang dirintis oleh Menteri Besar adalah langkah berani, memperkenalkan budaya baharu dalam pentadbiran negeri.

“Langkah tersebut mungkin satu langkah permulaan yang kecil, tetapi jika terus disuburkan akan membantu melonjakkan budaya politik baharu aras tinggi yang kurang berkonfrontasi sifatnya.

“Setiap ahli Dewan hendaklah menyambut langkah tersebut dengan menunjukkan sikap timbal balik yang menghargai budaya baharu ini dengan mempamerkan semangat politik matang beraras tinggi, saling bekerjasama, saling menghormati, saling membantu usaha-usaha yang dilaksanakan untuk kepentingan negeri dan kepentingan rakyat,” titah baginda memetik Berita Harian.

Di samping itu, titah baginda, semua ADUN hendaklah sama-sama berusaha memupuk semangat perpaduan dan semangat kewarganegaraan antara rakyat berbilang kaum yang menganut pelbagai agama, mengamalkan pelbagai budaya dan menguasai pelbagai bahasa.

Bertitah pada perasmian Mesyuarat Pertama Tahun Keempat Dewan Negeri Perak Ke-14, di Perak hari ini, Sultan Nazrin turut mengingatkan, Dewan Negeri adalah tempat yang membolehkan rintihan rakyat didengari melalui suara ahli-ahli Dewan yang sudah dipilih dan mendapat mandat rakyat semasa pilihan raya.

“Dalam negara yang mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan-demokrasi berparlimen, Dewan Negeri sebagai sebuah badan perundangan, berperanan penting untuk mengukuhkan amalan demokrasi, juga untuk mengimbangi peranan cabang eksekutif, terutama untuk menyemak, membahaskan dan meluluskan perbelanjaan negeri,” titah baginda.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat