Azalina paling layak jadi Menteri Dalam Negeri, cadang Hannah Yeoh

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Segambut dari DAP, Hannah Yeoh mencadangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mempertimbangkan Datuk Seri Azalina Othman dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri.

Katanya Hannah, sudah sampai masanya jawatan itu diisi oleh seorang wanita.

“Saya sangat berharap, selepas saya lihat peletakan jawatan Azalina – biar saya beritahu mengapa. Semasa kami di Putrajaya, kita tahu Yeo Bee Yin memegang peranan tiga orang lelaki.

“Saya rasa sekarang ini, memandangkan Azalina sudah bukan timbalan speaker, dia boleh menjadi calon utama (frontrunner) untuk dipilih menerajui kementerian penting,” kata Yeoh dalam temu bual bersama Astro Awani, yang turut dikongsinya di Twitter miliknya.

“Banyak kali kita lihat Kementerian Dalam Negeri ini sebagai jawatan yang berkuasa, diberikan kepada lelaki-lelaki senior dalam mana-mana parti politik, tetapi ada banyak isu membabitkan kewarganegaraan, perkahwinan dan perceraian – semua ini di bawah Jabatan Pendaftaran Negara.

“Kanak-kanak tanpa warganegara juga – ini merupakan isu-isu penting yang mesti ditangani. Malangnya, kita belum lihat seorang menteri dalam negeri yang menangani isu-isu ini, jadi saya fikir adalah bagus untuk perdana menteri melantik Azalina sebagai menteri dalam negeri.

“Dan jika tak boleh, mungkin menteri undang-undang atau menteri wanita, lagi bagus (kalau dapat) ketiga-tiga sekali,” katanya sambil memuji kemampuan Azalina.

Awal minggu ini, Azalina yang juga ahli Parlimen Pengerang meletakkan jawatan sebagai timbalan speaker Dewan Rakyat susulan pembentukan kerajaan baru dan pelantikan Ismail Sabri sebagai perdana menteri.

Yeoh berkata rekod Azalina merupakan orang yang tepat untuk menggalas tanggungjawab berkenaan.

“Sebagai timbalan speaker, dia bersikap sangat (mengutamakan) perundingan, dan rekodnya menunjukkan yang dia turut melibatkan pembangkang.

“Dia melihat isu reformasi penjara, dan untuk jawatankuasa pilihan untuk wanita dia masukkan kami dalam perbincangan,” tambah Yeoh, yang merupakan bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat di bawah PH dari 2018 hingga 2020.

Sebelum ini, sayap wanita PH mengeluarkan kenyataan agar Kementerian Dalam Negeri diterajui seorang wanita dan menggesa Ismail Sabri mewujudkan satu kementerian untuk kanak-kanak.

“Selaras dengan konsep Keluarga Malaysia, Wanita PH menggesa perdana menteri Malaysia yang kesembilan, memberikan komitmen kepada semua rakyat untuk menubuhkan sebuah kementerian baharu iaitu Kementerian Kanak-Kanak agar hak dan suara kanak-kanak di seluruh negara tidak ditenggelami oleh isu-isu lain yang kebiasaannya dibawa ke meja rundingan dalam mesyuarat kabinet.

“Dalam nafas yang sama, Wanita PH juga ingin menyarankan agar seorang wanita dilantik untuk menggalas kewajipan dan memikul tanggungjawab mengetuai Kementerian Dalam Negeri yang belum pernah berlaku dalam sejarah negara Malaysia.

“Kami menyeru agar perdana menteri memberikan kepentingan kepada suara kami untuk memastikan kebajikan, perlindungan serta hak kanak-kanak terus terbela di kala pandemik ini.

“Perhatian seorang perdana menteri tidak wajar hanya tertumpu kepada suara penduduk yang ada hak mengundi tetapi semestinya juga terhadap suara kanak-kanak,” kata kenyataan itu.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat